Banjir: Penduduk cadang nak saman kerajaan?


PENDUDUK
Klang di Selangor dilapor sedang mempertimbang untuk memfailkan saman kepada kerajaan atas dakwaan cuai menguruskan bencana banjir Disember lalu.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago yang dipetik laporan Malaysiakini mendakwa, terdapat kelemahan dalam pengurusan bencana dengan tiada mana-mana pegawai kerajaan ditemui pada awal kejadian banjir.

Orang ramai ketika itu tiada pilihan selain membantu sesama sendiri.
 
“Negara mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga hak serta kepentingan rakyatnya. Bagaimanapun, semasa banjir, hampir tidak ada sistem amaran awal atau usaha bantuan banjir yang cekap untuk membantu individu dan masyarakat yang terdedah.

"Malah, pegawai kerajaan hilang dalam tiga hingga empat hari pertama, dan orang ramai mengambil tanggungjawab untuk mengatur pengagihan makanan dan misi menyelamat," katanya.

Charles sebelumnya hadir perubahan iklim bertajuk "Kesan perubahan iklim terhadap kawasan pantai seperti Klang" anjuran pejabatnya semalam dimana peserta sepakat membangkitkan keperluan bahawa sistem saliran dan pengairan baru di Klang perlu diperbaiki bagi menampung limpahan air sungai secara berperingkat.

"Dengan cara ini, perancang mengelak membangunkan saliran khusus untuk kawasan perumahan setempat, tetapi membenarkan pergerakan air antara beberapa kawasan sebelum ia mengalir ke sungai," tambah Charles.

Sementara itu antara dibincangkan dalam seminar itu adalah berkenaan bantuan bencana bagi menggantikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Pertimbangkan tubuh pasukan bantuan bencana
Katanya, pasukan bantuan bencana yang dicadangkan memerlukan aspek perundangan yang komprehensif untuk menyatukan pelbagai undang-undang dan peraturan, termasuk dasar dan program bagi mengurangkan risiko berkaitan banjir.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan penubuhan pasukan bantuan bencana, yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan tentera udara yang boleh dikerahkan apabila berhadapan dengan bencana.

“Kos untuk menyediakan pasukan ini tidak tinggi kerana ia datang daripada pasukan keselamatan dan pertahanan sedia ada. Usaha seperti ini akan membantu memudahkan penempatan tentera dalam masa yang singkat dan menggerakkan peralatan untuk tujuan bantuan,” katanya.