Tak siap sedia hadapi banjir: AMK kritik k'jaan T'ganu


KERAJAAN
Terengganu dikritik setelah didakwa tidak bersiap sedia bagi menghadapi banjir yang disifatkan luar biasa tahun ini.

Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Terengganu, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali berkata, sepatutnya, kerajaan negeri mengeluarkan amaran sebulan lebih awal kepada penduduk sebagai persediaan rakyat menghadapi musim banjir.

“Hairannya mengapa tiada langsung siap siaga kerajaan negeri di pantai timur ini memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan ramalan kaji cuaca semenjak awal Februari lalu, cuaca di Terengganu tidak seperti biasa.

“Ini adalah satu tindakan culas daripada kerajaan negeri Terengganu yang membiarkan rakyat Terengganu berhempas-pulas tanpa amaran awal dari pihak kerajaan negeri walaupun dengan ramalan kaji cuaca yang dikeluarkan lebih awal oleh pihak kerajaan.

“Selain itu, kami juga mempersoalkan urus tadbir kerajaan negeri yang dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menangani isu banjir di negeri Terengganu.

“Umum mengetahui banjir di Pantai Timur adalah satu perkara normal namun sehingga sekarang tiada langkah proaktif dari pihak kerajaan negeri walaupun menteri besar Terengganu telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Banjir Pusat bagi menghadapi musim banjir,” katanya pada satu kenyataan.

Lebih teruk tegas Wan Muhamad lagi, rakyat yang terbabit banjir dibiarkan berhempas-pulas menghadapi bencana itu.

Terdahulu di media sosial, beberapa video dan gambar kejadian banjir di Terengganu dikongsikan warganet.

Kawasan-kawasan yang tidak pernah dinaiki air turut dilapor dilanda banjir, kediaman penduduk ada yang hampir ditengelami air dengan penduduk lari ke bukit berhampiran untuk menyelamatkan diri.

Mengulas lanjut, Haikal mendesak kerajaan negeri mengeluarkan garis panduan banjir kepada rakyat, selain mengeluarkan amaran sebulan lebih awal, serta mengemaskini maklumat kaji cuaca di negeri berkenaan memandangkan dunia sedang menghadapi perubahan iklim.

Dia turut mempersoalkan tentang perkembangan persediaan banjir yang diperkatakan menteri besar Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini - termasuk membina terowong Smart, kota takungan pinggir sungai dan membangunkan sistem amaran berdasarkan kecerdasan buatan.

“Mana langkah persediaan yang dilaungkan Ahmad Samsuri sebelum ini?

Apa jadi dengan 'projek' diumum Ahmad Samsuri?
“... Ternyata ia sekadar omongan kosong kerana sehingga sekarang rakyat Terengganu terperangkap dalam banjir akibat kelalaian daripada pihak kerajaan negeri,” katanya. 

Post a Comment

0 Comments