Rosakkan bendera: Maszlee kecewa politik 'samseng' kembali


 

CALON parti KEADILAN kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang kesal budaya ‘samseng’ dan ‘buli’ dibawa kembali dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Maszlee Malik yang juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam menyatakan rasa kecewa itu susulan insiden membakar serta membuang bendera parti politik seperti dilapor media baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau yang merupakan bekas Menteri Pendidikan mengges semua parti politik mengamalkan politik bermaruah dengan menunjukkan kematangan serta integriti dan sikap bijaksana.

“Kita tidak mahu budaya samseng ini kembali berleluasa.

“Kalau kita lihat, kita ingin kematangan dalam politik. Kalau boleh politik secara integriti dan ‘gentleman’, bukan budaya samseng serta buli,” katanya dipetik.

Terdahulu pada Isnin,  polis Johor mengesahkan terdapat insiden membakar dan membuang bendera parti politik di dua lokasi berlainan di Layang-layang, Kluang,

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata insiden terbabit berlaku antara Jalan Puteri dengan Jalan Melati di Taman Layang-Layang, serta di Jalan Kampung Paya.

Maszlee ajak amal politik bermaruah, matang
Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat pula dipetik berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan membuat siasatan menyeluruh termasuk memanggil wakil parti politik bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, laporan polis telah dibuat berhubung isu membakar bendera KEADILAN dan menyerahkannya pihak berkuasa untuk menyiasat.

“Kita sudah buat laporan polis dan kita serah pada polis untuk lakukan siasatan,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments