Perkahwinan bawah umur: KEADILAN bidas kementerian Rina Harun


LAPAN ahli parlimen wanita dari KEADILAN dan seorang senator mewakili parti itu membidas keputusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk tidak mengharamkan perkahwinan bawah umur.

Kata mereka, langkah kementerian dibawah Rina Harun itu bertentangan dengan usaha kerajaan sebelum ini untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dengan membuat pindaan undang-undang untuk menaikkan umur minimum kepada 18 tahun.

“Pelan Strategi Kebangsaan yang dimulakan oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail menyokong tindakan konkrit meminda undang-undang bagi menangani isu perkahwinan kanak-kanak.

“Pelan itu mengandungi program tindakan melibatkan 61 agensi di peringkat persekutuan dan negeri,” kata kumpulan itu.

Pendirian itu dinyatakan Ahli parlimen Pandan, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pernah menerajui kementerian itu ketika menjadi timbalan perdana menteri bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, Fuziah Salleh (Kuantan), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Natrah Ismail (Sekijang), Nor Azrina Surip (Merbok), Rusnah Aluai (Tangga Batu), June Leow (Hulu Selangor) dan senator Fadhlina Sidek.

Kenyataan itu sebagai respon terhadap jawapan bertulis Rina yang dikeluarkan kepada Nurul Izzah, yang menyatakan kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk mengharamkan perkahwinan bawah umur.

“Pendirian Rina Harun telah menggagalkan usaha sebelum ini, terutamanya dalam wabak yang memangsakan lebih ramai gadis muda daripada keluarga berpendapatan rendah berisiko terperangkap dalam perkahwinan bawah umur.

“Statistik bagi tahun 2020 menunjukkan 445 pelajar sekolah didapati tidak menamatkan pengajian kerana berkahwin, membabitkan 441 perempuan dan 34 lelaki,” katanya mereka lagi.

Usaha untuk menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun telah dimulakan di bawah Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur pada Januari 2020 oleh kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika itu.

Usaha itu meliputi pelbagai aspek perundangan termasuk undang-undang syariah, undang-undang perkahwinan dan undang-undang keluarga Islam di bawah bidang kuasa negeri, melalui draf pindaan kepada Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984, bertujuan untuk menaikkan umur perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.

Mahu isu berkenaan dipandang serius
Setakat ini hanya Selangor yang diperintah HARAPAN, dengan sokongan sultannya, telah meminda undang-undang syariah negeri itu untuk menaikkan umur perkahwinan kepada 18 tahun.

Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata kerajaan memutuskan untuk mengekalkan had umur minimum perkahwinan bagi gadis Islam iaitu 16 tahun selepas mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan had umur 18 tahun.
 
Sementara itu semua kenyataan dikeluarkan pemimpin wanita KEADILAN itu mahu kerajaan meneruskan perbincangan dengan tujuh negeri yang masih belum bersetuju untuk meminda undang-undang berkaitan, serta lima negeri lain yang telah bersetuju tetapi masih belum meluluskan pindaan itu.

Post a Comment

0 Comments