KEADILAN tegakkan prinsip demokrasi

 

PROSES pemilihan parti KEADILAN akan diadakan secepat mungkin walaupun ada cadangan untuk menangguhkannya, tegas Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap ketika melancarkan aplikasi mudah alih ‘Adil' di Ibu Pejabat Parti itu di Kuala Lumpur semalam, Anwar menegaskan bahawa langkah mempercepat proses itu perlu kerana KEADILAN mahu menegakkan prinsip demokrasi.

"Ramai rakan-rakan saya yang mengusulkan dengan agak tegas meminta kita tangguhkan pemilihan kerana kita masih ada peluang (berdasarkan perlembagaan KEADILAN) dan memang kecenderungan kepimpinan parti-parti besar di negara kita semuanya memilih untuk menangguhkan.

"Saya berbeza pendapat. Kita dipilih pada tahun 2018 dengan mandat yang jelas untuk lima tahun.
 
"Peruntukan perlembagaan (KEADILAN), kuasa ROS (Pendaftar Pertubuhan) membolehkan kita menangguhkan (pemilihan) kalau ada alasan darurat atau pilihan raya umum.

"Ini tidak berlaku. Jadi saya agak berkeras mengatakan kalau parti ini ingin mempertahankan prinsip demokrasi dan menghormati mandat rakyat, mandat ahli (KEADILAN) maka kita harus bergegas melaksanakan secepat mungkin," katanya.

Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) sementara itu menegaskan juga peri pentig pemilihan diadakan segera.

Selepas berlakunya 'Langkah Sheraton' kata Anwar, beberapa jawatan penting dalam parti itu telah kosong.

Justeru jawatan-jawatan itu perlu diisi secepat mungkin, jelasnya, sambil menambah beliau tidak mahu menggunakan kuasanya untuk melantik sendiri pemimpin yang akan mengisi kekosongan jawatan parti itu kerana mereka sewajarnya dipilih sendiri oleh ahli-ahli parti.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai pembangunan aplikasi 'Adil", Anwar berkata bahawa parti telah belajar daripada pemilihan parti sebelum ini, yang menyaksikan banyak aduan dan isu dengan proses berkenaan walaupun mereka telah berusaha sebaik mungkin ketika itu.

Atas sebab itu jelas Anwar, KEADILAN akhirnya tampil dengan sistem baru pada pemilihan parti kali ini melalui kaedah hibrid merangkumi pengundian dalam talian, yang mana aplikasi ‘Adil’ akan berfungsi sebagai platform, serta pengundian fizikal di pusat mengundi.

Peralihan sepenuhnya kepada pengundian dalam talian jelasnya idak dilakukan kerana masih ramai ahlinya di luar sana yang tidak mempunyai akses yang stabil kepada Internet atau menghadapi kesukaran menyesuaikan diri dengan teknologi baru.

Jawatan perlu diisi melalui pilihan akar umbi
Aplikasi "Adil' diwujudkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) KEADILAN bagi membolehkan anggota mengemaskini maklumat kendiri dan mula mendaftar untuk mengundi secara dalam talian semasa proses pemilihan parti penggal 2022 hingga 2025 akan diadakan pada 13 hingga 18 Mei depan

Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, anggota boleh memuat turun aplikasi tersebut melalui Apps store dan Google Play Store.


Post a Comment

0 Comments