Tajuddin gagal saman Khalid, dua yang lain


AHLI PARLIMEN
Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman gagal dalam saman fitnahnya terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, portal video Kinitv dan akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar menolak saman pemimpin UMNO itu selepas memutuskan bahawa kenyataan Khalid mengenai ucapan seksis Tajuddin pada sidang Parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang disiarkan dan NST dan KiniTV enam tahun lalu tidak bersifat fitnah.

Mahkamah menurut Latifa mendapati kenyataan Khalid bukan suatu fitnah jika diambil pada konteks ketika itu dan berpendapat perkataan yang digunakan adalah daripada provokasi Tajuddin selaku plantif dalam kes itu.

"Kes ini berlaku dan berpunca daripada ucapan plaintif sendiri di Parlimen pada 21 November 2016 ketika sidang Parlimen yang mana plaintif mengeluarkan satu kenyataan, antara lain yang bersifat seksis, dan menggunakan bahasa tidak mengikut peraturan Parlimen dalam ucapannya.

"Mahkamah mengambil notis kehakiman bahawa perkataan yang digunakan merujuk kepada Ahli Parlimen Seputeh dan mahkamah berpendapat tiada keperluan bagi plaintif mengungkapkan perkataan kesat yang pada ketika itu tidak ada apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang dibahaskan.

"Tindakan plaintif enggan menarik balik kenyataan itu dan mengejek ahli parlimen pembangkang (ketika itu) menimbulkan provokasi terhadap defendan pertama," katanya.
 
Mahkamah turut menegaskan terdapat justifikasi terhadap komen yang dibuat oleh Khalid dan ia adalah suatu komen adil, yang dibuat atas kepentingan awal dan dilindungi melalui keistimewaan bersyarat.

Pada 22 Feb 2017, Tajuddin yang adalah timbalan menteri pertanian dan asas tani memfailkan saman fitnah terhadap Khalid yang dakwanya mengeluarkan dua kenyataan fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 November 2016.
 
Dia juga menyaman Kinitv Sdn Bhd dan The New Straits Times Press (M) Berhad berhubung liputan mereka mengenai sidang media tersebut.

Mahkamah tegaskan Khalid tak fitnah Tajuddin
Sementara itu, mahkamah memutuskan bahawa laporan yang dibuat NSTP (defendan kedua) berhubung kejadian pada sidang Parlimen terbabit adalah laporan yang saksama dan tepat mengenai sesuatu mesyuarat awam (sidang Parlimen).

Bagi defendan ketiga (KiniTV) pula, Mahkamah mendapati dua video yang disiarkan pada 24 November 2016 tidak mempunyai sebarang unsur fitnah kerana ia adalah mengenai kenyataan yang dibuat oleh Khalid dengan suci hati tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
 

Post a Comment

0 Comments