PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan anak muda supaya berani bangkit menjadi pembela kepada nasib rakyat di negara ini.
Mengimbas kenangan zaman ketika masih bergelar Mahasiswa, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mendedahkan bahawa penglibatannya dalam Demonstrasi Baling 1974 bersama rakan-rakan lain sehingga dipenjarakan hampir dua tahun telah mencorak sebahagian besar politiknya.
“Saya gesa anak-anak muda zaman sekarang untuk mengambil kesempatan ini untuk telaah kembali sejarah ini dan menyikapi dengan baik isu-isu penting yang mengesankan rakyat dan negara,” ujarnya.
"Anak muda bukan duduk di kalangan elit senang-lenang, tetapi mesti menyuarakan perjuangan rakyat dan mewakili hati nurani rakyat terbanyak.
"Kalau rakyat susah suara mesti dikalangan anak muda, ini baru jiwa anak muda." katanya.
Peristiwa Baling yang berlaku hampir 50 tahun lalu dilihat sebagai kemuncak kebangkitan perjuangan Mahasiswa di negara ini.
Ia berlaku susulan kejatuhan harga getah yang menyebabkan rakyat di Baling terjejas teruk sehingga berdepan isu kelaparan.
Ada dikalangan penduduk dikatakan meninggal dunia susulan tiada makanan, kerajaan pula dikritik setelah dilihat tidak melakukan apa-apa bagi membantu meringankan beban kumpulan terjejas.
Berita itu telah menyebabkan kebangkitan Mahasiswa yang simpati kepada penduduk terjejas, mereka mengadakan demonstrasi di padang Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur mendesak kerajaan campur tangan membela nasib penduduk Baling.
Kumpulan itu mengadakan demonstrasi di pelbagai tempat termasuk di luar universiti dan di pekarangan Masjid Negara.
Perhimpunan pelajar-pelajar tersebut telah disuraikan oleh FRU dengan tembakan gas pemedih mata. manakala 8,000 pelajar yang sedang berlindung di masjid difahamkan dikepung pihak berkuasa.
Seramai 1,128 orang pelajar, termasuk 80 wanita ditahan. Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah presiden ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) telah ditahan selama dua tahun di bawah ISA dan Dr Syed Husin Ali selaku pensyarah Universiti Malaya yang ditahan di bawah ISA selama enam tahun.
Peristiwa Baling kemuncak kebangkitan mahasiswa |
“Peristiwa tersebut benar-benar mencorak sebahagian besar politik saya tatkala saya pada saat itu masih seorang mahasiswa dan saya percaya orang muda itu mesti di depan menjadi jurubicara umat,” katanya menerusi ciapan di Twitternya pada Ahad.
0 Comments