MAHKAMAH TINGGI Kuala Lumpur pada Selasa menolak permohonan bekas Presiden UMNO, Najib Razak untuk menggantung prosiding saman sivil USD1.18 bilion SRC International Sdn Bhd terhadapnya.
Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin berkata Najib, 68, tidak akan diprejudis jika saman itu diteruskan ketika beliau menunggu rayuan kes jenayah membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC di Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, mahkamah berpandangan bahawa keputusan rayuan dan permohonan di Mahkamah Persekutuan pada peringkat ini adalah bersifat spekulatif semata-mata.
“Bagaimanapun, apa jua keputusan (rayuan) di Mahkamah Persekutuan tidak menghalang defendan (Najib) daripada membuat pindaan kepada tuntutannya, tertakluk kepada permohonan yang dibuat dan pendedahan pernyataan pembelaan juga tidak akan memprejudis defendan.
“Permohonan untuk menggantung prosiding semasa sehingga tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi defendan diputuskan juga tidak dibenarkan kerana garis masa belum ditentukan. Justeru, Mahkamah berpandangan pengurusan saman ini perlu diteruskan dan adalah penting defendan memfailkan pembelaan bagi memastikan saman ini berjalan dengan efisien,” katanya seperti dilapor Bernama.
Pada 7 Mei tahun lalu, SRC di bawah pengurusan baharunya, memfailkan saman terhadap Najib serta bekas-bekas pengarah syarikat itu Suboh Md Yassin, Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil, Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Ismee Ismail.
Bagaimanapun, syarikat itu kemudian menggugurkan keenam-enam nama daripada saman tersebut dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan yang dakwa mereka telah menyalah guna kuasanya dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan.
SRC, yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan selain faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah dari bekas Penasihat Emeritus SRC itu.
Dalam prosiding sebelum ini, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib sebelum ini berhujah bahawa Najib ingin menangguhkan prosiding saman itu sehingga pelupusan penuh kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC yang kini di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan selain tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi.
Najib disabitkan salah seleweng dana SRC |
Namun pada 7 Dis tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman dikenakan terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.
0 Comments