BEKAS Menteri Belia dan Sukan yang kini Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Perkara itu dimaklumkan Anwar melalui perkongsian di Twitternya dengan menjelaskan menerima kunjungan Ahli Parlimen Muar itu di pejabatnya bagi membincangkan isu berkaitan masa depan golongan muda di negara ini.
"Pagi tadi saya dikunjungi Presiden Muda dan Ahli Parlimen Muar YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di pejabat.
"Kami berbincang soal masa depan dan perihal pembangunan anak muda di negara ini," jelas Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
Tidak ketinggalan jelas Anwar, mereka turut membincangkan strategi dan perjalanan pihak pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi.
"Kami juga turut menyentuh tentang strategi dan perjalanan Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi," tambah Anwar.
Sementara itu dipetik laporan media, Syed Saddiq berkata pihaknya sedang berbincang dengan parti pembangkang agar dapat bersatu melawan keangkuhan kerajaan Barisan Nasional (BN)
Bagi tujuan itu jelasnya beliau sendiri akan mengadakan rundingan secara tertutup dengan pihak pembangkang.
![]() |
Turut dibincangkan adalah hal PRN Johor |
“Kita mahu berbincang dengan semua parti untuk elak pertembungan tetapi buat masa ini perbincangan dengan Muda lebih realistik.
“Jadi kami harap kalau kita berjaya. Itu yang rakyat hendak…kita boleh buat perubahan,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis di Kulai.