Mat Sabu hairan Abdul Hadi kitar semua 'modal lama' musuh PAS

 

PRESIDEN Parti AMANAH, Mohamad Sabu menyifatkan tuduhan Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang kononnya Parti Muda dan AMANAH dicipta oleh DAP sebagai cukup menghairankan.

Bercakap dalam satu program bual bicara di saluran Jom Channel, Mohamad Sabu melahirkan rasa hairan itu kerana sebelum ini musuh PAS juga menuduh parti pimpinan Abdul Hadi itu sebagai ‘terompah DAP’.

Sebaliknya, bidas Ahli Parlimen Kota Raja itu, Abdul Hadi melontarkan tuduhan sama terhadap musuh politiknya dengan mengaitkan dengan DAP.

“Kalau tuduhan itu dari PAS, saya cukup hairan kerana tahun 2008 hingga 2013, PAS dituduh sebagai terompah DAP, terompah Lim Kit Siang.

“Tuduhan itu dibuat oleh musuh PAS tapi sekarang PAS pula buat tuduhan sama,” katanya.

Sejak 2008, Pas digelar terompah DAP oleh pihak yang sengaja memainkan sentimen kaum.

Pada 18 Februari lalu, Abdul Hadi ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penyokong pada majlis pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) di Kota Tinggi, Johor berkata, Muda diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman merupakan ciptaan DAP yang bertujuan untuk mengumpan belia Melayu.

Muda katanya sama seperti AMANAH yang didakwa juga ditubuhkan oleh DAP.

“AMANAH itu DAP yang buat. Saya tahu dia ambil orang PAS buat AMANAH. Sekarang, Muda ini pun DAP juga. Tak apalah.

“Untuk umpan pancing anak muda orang Melayu. Ingat jangan makan umpan,” kata Abdul Hadi lagi.

Sebagai rekod, penubuhan AMANAH berpunca dari tindakan sekumpulan bekas pemimpin parti itu yang keluar PAS setelah dipercayai tidak bersetuju dengan hala tuju parti itu setelah ketiadaan Mursyidul Am-nya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Seorang bekas pemimpin PAS, Mohamed Hanipa Maidin dalam satu kenyataan menegaskan DAP tidak terlibat dengan idea penubuhan parti itu sebaliknya ia berpunca dari kelemahan Abdul Hadi memimpin PAS sendiri.

Sementara itu dalam kenyataanya Mohammad menyifatkan parti komponen kerajaan Perikatan Nasional (PN) disertai PAS sebagai lebih teruk berbanding Umno.

Ratib DAP, senjata politik paling ampuh
“Bagi saya, PAS lebih teruk daripada Umno yang mereka serang dulu. Sekarang ini mereka sudah tidak ada prinsip.

“Saya pun rasa pelik bin ajaib apa yang sedang berlaku dalam PAS walaupun itu bekas parti saya,” kata yang turut berpendapat tindakan Abdul Hadi menggunakan sentimen kaum dengan mencanangkan bahayanya DAP itu sebagai usaha menarik sokongan pengundi Melayu.

“Mereka tahu serangan perkauman ini lebih mudah untuk memancing orang Melayu khususnya untuk menyokong parti pemerintah,” tambahnya lagi.

Post a Comment

0 Comments