Calon HARAPAN gesa sempadan Msia- S'pura dibuka


ENAM calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertanding di kerusi bahagian selatan Johor menggesa agar sempadan negeri dengan Singapura dibuka semula.

Merujuk kesan ekonomi jangka panjang negeri itu, mereka menegaskan bahawa ramai termasuk penjaja, pengendali pengangkutan kepada perniagaan yang lebih besar, sangat bergantung kepada pelawat dari Singapura, selain rakyat Malaysia yang bekerja di negeri itu.

"Kami meminta kerajaan negeri untuk menekan kerajaan persekutuan untuk berunding dengan Singapura untuk mencapai keputusan mengenai pembukaan semula sempadan tidak lama lagi," kata mereka dalam satu sidang media.

Calon N45 DUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang turut dalam sidang media itu turut berkata, isu pembukaan sempadan dengan Singapura telah menjadi isu untuk orang Johor yang berulang-alik sejak wabak Covid-19 bermula dua tahun lalu, tanpa komitmen yang jelas daripada kerajaan untuk menangani isu berkaitan yang melibatkan rakyat Johor.

Kedua-dua kerajaan jelasnya perlu mempercepatkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) tanpa kuarantin kepada kenderaan persendirian, termasuk kereta dan motosikal, melebihi kebenaran semasa yang diberikan hanya kepada penumpang yang menaiki bas awam.

Sementara itu, calon N49 Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad berkata hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura yang menjejaskan bukan sahaja pengundi di Selatan Johor tetapi di seluruh negeri.

“Membuka semula sempadan akan meningkatkan pembelian hartanah di Johor.

“Johor mempunyai lebihan bekalan hartanah tertinggi di negara ini [...] Pelabur dari Singapura adalah antara pembeli utama hartanah di Johor,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Pembukaan semula sempadan untuk ekonomi


Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong, yang juga calon N46 DUN Perling pula berkata Malaysia perlu menerajui kepimpinan dalam pembuatan keputusan mengenai pembukaan semula sempadan dan menyatakan pendiriannya kepada Singapura.


"Cadangan kami mudah, untuk ujian saringan dan membenarka individu yang telah diuji negatif boleh dibenarkan masuk tanpa kuarantin," katanya.

Post a Comment

0 Comments