Anwar dakwa dihalang jadi PM kerana enggan kompromi rasuah


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa terdapat golongan konglomerat yang mendanai parti politik di Malaysia demi menghalang reformasi antirasuah.

Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus, Anwar berkata jika tidak kerana keengganannya untuk berkompromi dengan mereka, beliau sudah pun menjadi perdana menteri.

“Jadi jangan meremehkan kemungkinan dalam politik, dalam pilihan raya ada yang ditaja hanya untuk melemahkan agenda reformis.

“Saya akui tidak mudah. Ya saya belum berhasil penuh. Tapi kalau saya kompromi, saya sudah berhasil.

“Jangan lupa, kalau saya kompromi, saya sudah jadi perdana menteri,” katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Ketua Pembangkang di Parlimen itu berkata golongan konglomerat tersebut tidak suka dengan pendiriannya yang menentang rasuah dan penyelewengan.

“Saya tentu tidak popular, jadi tokoh-tokoh yang besar susah nak bantu KEADILAN selagi Anwar jadi ketua.

“Terus terang saya boleh berkawan dengan semua, tetapi untuk kompromi soal ini (rasuah), akan menjahanamkan negara kita,” katanya lagi.

Dalam wawancara itu juga Anwar mendedahkan bahawa kritikannya berhubung skandal Kertas Pandora juga menyebabkan dia hilang sokongan tokoh korporat.

“Saya masih ingat di Parlimen tatkala berucap tentang Pandora Paper yang melibatkan mantan perdana menteri, mantan menteri kewangan dan semua nama-nama besar dari pelbagai parti.

“Speaker larang saya bicara tetapi saya nak bicara sebab ini menyentuh kepentingan negara.

“Berbilion ringgit dibawa keluar dan orang-orang ini sekarang mahu jadi jaguh. Yang hendak menyelamatkan orang-orang Melayu itulah juga yang bawa ratusan juta keluar negara.

“Dia ada penyokong sebab dia ada wang. Sebab dia ada golongan korporat yang akan membantu,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, media melaporkan bahawa hartawan Daim Zainuddin dan G Gnanalingam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa antara yang dinamakan dalam pendedahan tersebut.

Anwar tegas perjuangkan reformasi antirasuah
Walaupun amalan emiliki entiti luar pesisir tidak menyalahi undang-undang, dalam beberapa keadaan ia dikaitkan dengan pengelakan atau penghindaran cukai. Dalam kes lain, ini usaha untuk menjaga kerahsiaan atas pelbagai alasan.

Susulan pendedahan itu, Anwar berulang kali menyuarakan agar ia dibahaskan di Dewan Rakyat tetapi dihalang.

Post a Comment

0 Comments