Shahidan diminta jelaskan status 6 kolam takungan banjir


MENTERI Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim diminta menjelaskan status enam kolam takungan banjir yang telah dijual atau diberi milik sejak 2015.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang berkata, janji Shahidan bahawa tiada lagi kolam takungan banjir yang akan diberi milik untuk pembangunan hanya terpakai bagi baki sembilan kolam yang belum diberi milik.

“Tetapi, bagaimana dengan enam yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 siri 2.

“Oleh itu, saya pohon penjelasan daripada menteri (Shahidan). Adakah telah diberi Kebenaran Perancangan (DO), atau tidak, atau dibatalkan,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan Kementerian Wilayah Persekutuan ada memberi jaminan kawasan kolam takungan air sedia ada di ibu negara akan terus dipertahankan dan terpelihara daripada sebarang projek komersial.

Menterinya, Shahidan berkata, isu kepentingan mempertahankan kolam takungan air khususnya bagi tujuan tebatan banjir akan dibawa kepada jawatankuasa khas untuk tindakan susulan.

Ia susulan pada 28 Dis lalu, Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh Hannah, menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam, berhubung enam kolam takungan banjir didakwa diluluskan bagi tujuan pembangunan di Kuala Lumpur.

Hannah berkata, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 mendedahkan sepanjang tempoh 2015 hingga 2020, Datuk Bandar meluluskan 943 kebenaran perancangan walaupun tidak selaras dengan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur (PBRKL) 2020.

Shahidan digesa beri penjelasan
Dalam pada itu, Fahmi memohon Shahidan menjelaskan situasi bagi Kolam Takungan Banjir Batu 4 ½, bersebelahan PPR Seri Anggerik yang telah diberi milik pada 5 Ogos 2020 kepada sebuah syarikat setahun jagung, Sri Adara Sdn Bhd.

“Adakah premium berpuluh juta bagi tanah seluas 3.98 ekar ini telah dibayar,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments