Rehatkan Azam, Abu Zahar dan Borhan Dolah - HARAPAN


MAJLIS PRESIDEN
Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat gesaan supaya tiga individu berkaitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direhatkan.

Gesaan itu dibuat melalui satu kenyataan susulan isu berkaitan dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilihat semakin memuncak.

Selain Azam, Majlis Presiden turut menggesa agar Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar yang baru-baru ini dilapor membuat kenyataan 'membersihkan' Azam dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Tan Sri Borhan Dolah yang dakwa mereka enggan bertindak menyiasat Azam Baki

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu bahawa kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya, dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Perlu ada pimpinan baharu yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM agar kewibawaan, integriti dan kredibiliti SPRM dapat dipulihkan semula,”  tegas Majlis itu.

Tambah mereka, langkah merehatkan ketiga-tiga mereka bagi membolehkan isu terkait Azam disiasat secara bebas.

Dalam masa sama, Majlis Presiden HARAPAN juga memandang serius kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka terhadap Azam Baki serta membuat tuduhan motif ‘dendam politik’.

“Tindakan janggal mereka secara terburu-terburu menyokong “bos” mereka dengan kenyataan terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dalam sebuah parti politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM,” kata mereka.

Melalui kenyataan itu juga mereka turut membangkitkan kebimbangan bahawa Azam berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang dengan membenarkan akaun saham digunakan oleh adiknya, Nasir Baki secara proksi berkaitan dengan perdagangan berjuta-juta saham dan waran.
 
Justeru, Majlis Presiden berpendapat pegawai-pegawai kanan terbabit perlu membuat laporan polis dan membiarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat secara terbuka.

Kewibawaan SPRM mesti dikembalikan
Hal tersebut perlu, jelasnya, memandangkan SPRM sememangnya tidak akan menyiasat Azam secara bebas dan profesional sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau.

“Kami mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti,” tegas Majlis berkenaan.

Post a Comment

0 Comments