Saham Azam Baki: Abu Zahar digesa beri penjelasan atau letak jawatan


PENGERUSI
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Tan Sri Abu Zahar Ujang digesa memberikan penjelasan penuh berhubung tindakannya 'membersihkan' Azam Baki daripada sebarang dakwaan salah laku jenayah, mahupun konflik kepentingan.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berhubung kontroversi pemilikan saham oleh Azamn yang merupakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah enam ahli LPPR hari ini menyangkal pendirian yang dizahirkan pengerusi lembaga itu sebelum ini.

"Kenyataan media dari enam Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) ini, yang menjauhkan diri mereka dari kenyataan Abu Zahar yang ‘membersihkan’ nama Tan Sri Azam Baki, sangat mengejutkan.

"Ia menimbulkan persoalan sama ada Abu Zahar telah membuat keputusan ‘membersihkan’ nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu secara bersendirian?

"Abu Zahar kini tiada pilihan kecuali untuk memberi penjelasan penuh secara terbuka berkenaan perkara ini - atau meletakkan jawatan serta merta. Amat jelas beliau tiada lagi hak moral untuk menjadi pengerusi LPPR," kata Fahmi dalam kenyataan.

Dalam satu sidang media pada Selasa, Azam berkata, Azam memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) bahawa akaun dagangan miliknya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk memperoleh saham tersebut. Saham itu telah dipindahkan kepada Nasir kemudiannya.

Abu Zahar Ujang yang turut hadir berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tiada kepentingan kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Manakala hari ini, enam anggota LPPR  menyangkal pendirian yang dizahirkan pengerusi lembaga itu, Abu Zahar Ujang.

Sebaliknya kata mereka, kenyataan Abu Zahar dalam sidang media pada Selasa itu adalah sepenuhnya pendirian peribadi bekas presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan ketua Umno Bahagian Kuala Pilah berkenaan dan bukan LPPR.

“Dia (Abu Zahar) juga berkata tidak ada jenayah yang dilakukan atau konflik kepentingan dalam hal tersebut.

“Kami dengan terang ingin menyatakan bahawa ahli-ahli lembaga pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepasnya tidak menzahirkan pendirian sedemikian seperti yang dizahirkan Abu Zahar.

“Kami ingin menyatakan bahawa kenyataan berkenaan adalah sepenuhnya pandangan peribadi Abu Zahar,” kata kenyataan enam anggota tersebut.

Enam ahli LPPR tersebut ialah Ismail Omar, Azman Ujang, Akhbar Satar, Hamzah Kassim, David Chua Kok Tee dan Mohammad Agus Yusoff.

Fahmi berkata kenyataan media enam ahli LPPR ini satu tamparan hebat buat kewibawaan Abu Zahar dan satu bentuk ‘undi tidak percaya’ terhadap beliau.

"Jelas, seperti yang dijangka pelbagai pihak, ‘penjelasan’ Abu Zahar dan Azam Baki tempoh hari hanya menimbulkan seribu satu persoalan baru," katanya sambil turut mahu Abu Zahar meletak jawatan jika tidak bersedia menjelaskan rasional kenyataannya.

Enam anggota LPPR sangkal kenyataan Abu Zahar
Azam dilanda kontroversi hebat berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat awam pada 2015. Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan.


Post a Comment

0 Comments