Prosiding PSC Azam Baki tak dibuka kepada umum - Speaker


WALAUPUN
ada desakan supaya prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang membincangkan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuka kepada awam, namun ia tidak akan dilaksanakan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dipetik laporan The Star berkata, prosiding membabitkan Azam Baki itu tidak dibuka kepada awam berikutan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Semua prosiding PSC dan jawatankuasa lain kata Azhar adalah tertakluk kepada peruntukan peraturan tetap.

“Peraturan mesyuarat tidak membenarkan prosiding terbuka.

“Malah, peraturan tidak membenarkan perbincangan atau pendedahan saksi, keterangan saksi dan kandungan prosiding sehingga laporan dibentangkan kepada Dewan,” katanya pada Ahad.

Azhar memberi alasan bahawa perkara itu bertujuan untuk memelihara integriti prosiding tersebut dan memastikan kerjasama yang lengkap daripada semua yang terlibat.
 
Terdahulu pada Sabtu, Edmund Terence Gomez yang meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM menggesa prosiding tersebut dibuka kepada orang awam dan media.

Menurut ahli ekonomi itu, ia penting bagi memastikan tiada sebarang usaha untuk menyembunyikan kebenaran.

Ada gesaan supaya buka pendengaran kepada umum
Azam dijangka disoal siasat oleh PSC bagi agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berhubung penglibatannya dalam kontroversi dagangan saham minggu depan.

Menurut ahli jawatankuasa PSC dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, Azam telah dimaklumkan dan akan hadir di hadapan sembilan ahli jawatankuasa itu pada 19 Januari.