KEADILAN bakal bincang isu PRN Johor dalam mesyuarat MPP


MAJLIS Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dijangka akan membangkitkan isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dalam mesyuaratnya pada Khamis ini.

Perkara itu diberitahu Ahli Jawatankuasa KEADILAN Pusat, Datuk Seri Amirudin Shari dengan menjelaskan bahawa perbincangan itu nanti merangkumi semua perkara termasuk jumlah kerusi selain persiapan parti menjelang PRN tersebut.

Bagaimanapun Amirudin sependapat dengan pandangan pemimpin lain dalam parti itu bahawa PRN tidak sesuai diadakan ketika ini.

Namun tetapi sebagai parti politik, pihaknya tetap bersedia kerana tidak mahu terperangkap dalam situasi yang tidak sepatutnya.

"Desas-desus ini (PRN Johor), kita ikut rapat. Di Johor dengan kerajaan yang tipis majoritinya, ada yang ingin ambil kesempatan dalam keadaan tidak sesuai sekarang.

"Saya masih berpaksikan kepada pandangan yang diutarakan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dalam masa terdekat.

"Pandangan itu turut dikongsi dalam konteks PRN yang akan menelan belanja yang besar, pilihan raya itu sendiri berjalan dalam suasana tidak kondusif, selain kehadiran pengundi yang rendah, kaedah kempen yang terhad mahupun berlaku proses yang tidak menggalakkan," katanya lagi.

Ura-ura Johor akan membubarkan DUN bagi membolehkan PRN diadakan dicanang sejak beberapa minggu lalu.

Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat walau bagaimanapun menafikan ia akan berlaku dengan berkata tiada alasan kukuh untuk DUN dibubarkan.

Manakala Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dipetik laporan Sinar berkata, PRN Johor hanya persepsi yang diwujudkan sendiri oleh UMNO.

BACA: PRN Johor hanya mainan persepsi UMNO, kata AMK


Parti UMNO katanya hanya mahu mengambil kesempatan dari persepsi itu untuk terus menjadi parti dominan dalam pemerintahan kerajaan.

"Saya juga tidak nampak pihak lain memulakan perkara ini (PRN Johor), melainkan di pihak menteri besar sendiri (UMNO),” kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu menurut laporan itu. 

Tak sesuai adakan PRN ketika pendemik
Sementara itu Amirudin pula menambah bahawa PRN Johor mahu diadakan kerana pergolakan dalaman sebuah parti politik yang tidak ada kena mengena dengan KEADILAN, justeru tidak wajar diteruskan kerana Johor masih berada dalam keadaan pandemik dan baru selesai diuji dengan banjir.

"Ini adalah permainan politik mereka yang mahukan supaya PRN diadakan. Tak pasti sejauh mana ia betul (PRN diadakan), KEADILAN Johor dan Pusat perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan," katanya lagi.
 

Post a Comment

0 Comments