ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) berpandangan ura-ura kononnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan diadakan tidak lama lagi hanya persepsi diwujudkan sendiri oleh UMNO.
Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dipetik laporan Sinar berkata, UMNO hanya mahu mengambil kesempatan untuk terus menjadi parti dominan dalam pemerintahan kerajaan.
“PRN ini sebenarnya menjadi satu persoalan yang bagi saya persepsinya diwujudkan sendiri oleh Menteri Besar Johor (Datuk Hasni Mohammad).
“Saya juga tidak nampak pihak lain memulakan perkara ini (PRN Johor), melainkan di pihak menteri besar sendiri (UMNO),” katanya menurut laporan itu.
BACA: Cadangan bubar DUN Johor tak sepatutnya timbul sekarang
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Baharu menegaskan bahawa isu berkaitan kestabilan politik juga tidak seharusnya menjadi wadah untuk mengadakan PRN Johor kerana apa yang dituntut oleh rakyat kini adalah sebuah kerajaan yang menjaga kebajikan mereka.
“Cuma bagi saya ketika ini, memang ada kuasa di peringkat kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi yang mewujudkan suasana tidak stabil ini bukan daripada Pakatan Harapan (PH) tetapi belah sana (UMNO). Kalau boleh tumpukan untuk membantu rakyat sahaja ketika ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, khabar angin mulai tersebar luas mendakwa PRN Johor akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Tiada alasan kukuh mengapa PRN perlu diadakan |
Bagaimanapun Speaker DUN Johor, Suhaizan Kayat melalui satu laporan oleh Malaysiakini berpendapat tiada alasan kukuh untuk DUN Johor dibubarkan apalagi ketika rakyat dalam kesusahan akibat wabak Covid-19.
Katanya, BN masih lagi mempunyai kelebihan satu undi dan kerajaan dengan majoriti tipis ini masih berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah.
0 Comments