Pemimpin datang dan pergi, Institusi perlu dipertahankan


SEORANG Ahli Parlimen membidas kenyataan bekas Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Ahmad Faizal Azumu yang dilapor berkata keengganan menerima penemuan Suruhanjaya Sekuriti (SC) seolah-olah “melawan penjawat awam” dengan memperlekehkan kerajaan dan institusi seperti SPRM dan SC.

Ramkarpal Singh, seorang peguam dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor tindakan mempersoal isu pegangan saham yang dikaitkan dengan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah usaha kebenaran dan ketelusan dan bukan bersifat tidak patriotik.

“Menjadi tidak patriotik dengan mempersoalkan kontroversi Azam Baki bukanlah isunya. Ia dipanggil kontroversi kerana penemuan SC secara langsung bercanggah dengan penjelasan Azam sendiri,” katanya dipetik laporan FMT.

Media sebelum ini melaporkan Faizal yang kini berada dalam kabinet Ismail Sabri Yaakob menyelar pengkritik Azam Baki.

Dia juga menuduh Pakatan Harapan (HARAPAN) menjejaskan masa depan negara apabila terus mempersoalkan isu Azam yang menurutnya adalah semata-mata demi agenda politik mereka.

Azam telah terbabit dengan kontroversi mengenai pemilikan sahamnya dalam syarikat senaraian awam melebihi jumlah ambang yang dibenarkan bagi penjawat awam.

Dia kemudian mendakwa akaun saham itu digunakan oleh adiknya.

Suruhanjaya Sekuriti selepas menjalankan siasatan berkata, mereka tidak dapat memastikan secara konklusif sama ada Azam melanggar sebarang undang-undang sekuriti.

Kenyataan itu membangkitkan lebih banyak persoalan berhubung isu pemilikan saham tersebut.

Bukan tak patriotik bila soal isu Azam
Sementara itu Ramkarpal menegaskan bahawa dalam isu tersebut, sesiapa yang berfikiran wajar akan mempersoalkan penemuan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan penjelasan yang diberikan Azam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, Faizal salah faham yang isu itu berkaitan dengan integriti SPRM dan SC, dan ia tiada kaitan dengan menjejaskan moral perkhidmatan awam.

“Pemimpin datang dan pergi, tetapi institusi mesti dipertahankan setiap masa,” katanya.