Bukan masa sesuai adakan PRN - HARAPAN Johor


PEMIMPIN utama Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri Johor menegaskan pendirian mereka bahawa ketika ini bukan masa sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan ketika ini rakyat negeri itu sedang berdepan pelbagai isu lebih penting termasuk dari sudut ekonomi, penularan varian baharu Covid-19 dan bencana banjir.

Mereka turut mempersoalkan mengapa Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad tergesa-gesa mahu mengadakan PRN sedangkan penggal bakal berakhir tidak lama lagi sehingga pilihan raya yang mahu diadakan itu dilihat sebagai helah bertujuan mengambil kesempatan ketika ramai rakyat negeri ini dijangka menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi.
 
"Penggal pentadbiran berbaki lebih kurang setahun saja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi lebih stabil?

"Kami juga cukup yakin bahawa inilah kerisauan, hasrat dan nurani rakyat biasa ketika ini. Malah, pelaksanaan PRN yang bakal menelan belanja sekurang-kurang RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat.

"Malangnya, UMNO sedikit pun tidak empati kepada rakyat yang sedang berada dalam keadaan sukar," kata kenyataan itu.
 
Kenyataan tersebut ditandatangani Pengerusi HARAPAN Johor yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong.

Sultan Ibrahim, Sultan Ibrahim Iskandar, memberi perkenan pembubaran DUN Johor, berkuat kuasa semalam, bagi memberi laluan kepada PRN.

Perlukah adakan PRN Johor?


Sebelum itu, Baginda berkenan menerima menghadap Hasni Mohammad, di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, jam 5 petang semalam.


Sementara itu HARAPAN dalam kenyataan itu berkata, walaupun beranggapan sekarang bukan masa sesuai untuk PRN, namun mereka  akan mengambil segala langkah yang perlu untuk mempersiapkan diri berdepan situasi berkenaan.

Post a Comment

0 Comments