PRESIDEN Umno, Ahmad Zahid Hamidi bakal berdepan keputusan sama ada akan dibebaskan atau diarah membela diri terhadap 47 tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi esok.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah dijadualkan menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan pada kira-kira 9.30 pagi.
Jika keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Zahid, maka beliau akan dipanggil membela diri.
Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi, termasuk bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar dan bekas setiausaha eksekutif Zahid, Mazlina Mazlan @ Ramly.
Saksi terkenal lain yang berpihak kepada pendakwaan ialah B Muralidharan, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, dan pengurup wang Omar Ali Abdullah.
Bagi pertuduhan CBT, Zahid didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.
Berhubung dengan lapan pertuduhan rasuah itu, Zahid dikatakan telah menerima rasuah daripada tiga firma - Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Bhd dan Profound Radiance Sdn Bhd - sebagai dorongan untuknya, dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri ketika itu, untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan masing-masing dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa pekerja asing di Pakistan dan Nepal.
Berhubung 27 pertuduhan pengubahan wang haram pula, ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa terlibat dalam transaksi langsung melibatkan pendapatan daripada aktiviti haram, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.
Zahid, 68, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap terhadap semua tuduhan itu.
Sekiranya Zahid diperintahkan membela diri esok bagi kesemua atau sebahagian pertuduhan itu, Mahkamah Tinggi akan mengadakan peringkat pembelaan perbicaraan bermula 28 hingga 30 Mac, 11 hingga 13 April, 26 hingga 28 April, 23 Mei hingga 26 dan 27 hingga 30 Jun.
Zahid berdepan 47 pertuduhan pelbagai kesalahan |
Presiden Umno itu juga sedang menjalani perbicaraan rasuah yang berasingan di hadapan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melibatkan 40 pertuduhan yang dikaitkan dengan sistem visa luar negara (VLN).
0 Comments