Mahfuz gesa sidang khas Parlimen enam hari

DATUK Mahfuz Omar menyarankan sidang khas Dewan Rakyat pada 20 Jan ini ditambah kepada enam hari bagi membincangkan isu banjir selain pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Katanya dalam kenyataan yang dipetik Sinar Harian, tiga hari boleh diperuntukkan untuk membahas kertas putih isu banjir dan pasca banjir dan selebihnya mengenai isu pemilikan saham Azam.

“Sidang khas perlu memberi peluang kepada kerajaan mengemukakan kertas putih berkaitan Azam.

“Alibi dan pendedahan Ketua Pesuruhjaya SPRM serta kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Abu Zahar Ujang pada Rabu mengundang lebih banyak keraguan dan menyebabkan Malaysia semakin kehilangan kepercayaan dunia serta rakyat terhadap isu integriti kerajaan.” katanya.

Sebelum ini, Azam didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai ketika menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, Zahar semalam memaklumkan pemilikan saham itu sebenarnya adalah milik adik Azam, Nasir.

Terdahulu, seorang pemimpin politik veteran menegaskan LPPR melangkaui skop kuasanya apabila bertindak membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki daripada dakwaan konflik kepentingan.

Jelas Lim Kit Siang, LPPR tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Seksyen 13 Akta SPRM 2009 menetapkan enam fungsi LPPR SPRM dan tiada satu pun daripadanya memberi kuasa untuk membersihkan Ketua Pesuruhjaya SPRM daripada dakwaan konflik kepentingan,” katanya.

Seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibahas di Dewan Rakyat.

Salahuddin Ayub mengemukakan usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menggesa agar Parlimen membuka ruang bagi membahas isu berkenaan dibawah peraturan 18(1) Dewan Rakyat.

Mahu isu Azam Baki dibahaskan
Sementara itu Mahfuz berkata, kegagalan kerajaan Ismail Sabri menangani isu membabitkan Azam akan menyebabkan Perdana Menteri terpalit kegagalan menguruskan negara dan rakyat.

“Krisis integriti SPRM ini akan memberi kesan buruk besar kepada negara kerana rakyat mengharapkan SPRM benar-benar memerangi rasuah, tapi kini suruhanjaya tersebut dilihat terpalit dengan rasuah dalam negara.” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments