Lebih 40 NGO desak siasatan bebas terhadap Azam Baki


KERAJAAN
Ismail Sabri Yaakob ditekan supaya isu berkait dakwaan milikan saham membabitkan Azam Baki disiasat melalui badan bebas.

Hari ini empat NGO merangkumi Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Gerak, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), dan disokong 44 NGO lain menyuarakan gesaan itu melalui satu kenyataan bersama.

Selain mahu isu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu disiasat melalui badan bebas, mereka turut menggesa Ismail memulakan segera siasatan itu bagi mengembalikan kredibiliti SPRM.

Selain itu, NGO itu juga menuntut Azam bercuti sementara menunggu hasil siasatan, selain menggesa individu dan entiti terkait kontroversi berkenaan menjawab tiga soalan penting.

“Bagaimanakah Ketua Pesuruhanjaya SPRM membenarkan adiknya untuk membeli saham menggunakan akaun peribadinya walhal ia boleh jadi salahguna mengikut Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.

“Mengapakah Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM didakwa mengetepikan pandangan anggota lain di dalam lembaga pengarah dan bergantung kepada pandangannya sendiri bagi membebaskan Azam Baki.

“Mengapakah anggota lain lembaga penasihat hanya berdiam diri berkaitan rungutan yang diutarakan oleh Terence Gomez selepas mereka mengikut mesyuarat pada 24 Nov untuk membincangkan hal ini,” katanya kenyataan itu.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Bersih, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), G25 Malaysia dan Gabungan Bertindak Malaysia antara NGO yang menyokong gesaan itu.

Turut tersenarai, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) dan Persatuan Komuniti Prihatin Selangor dan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, NGO itu turut mendesak Lembaga Penasihat SPRM mendedahkan minit mesyuarat pada 24 Nov lalu bagi menunjukkan atas dasar apa Azam dibebaskan tanpa melalui proses penyiasatan yang sepatutnya.

NGO turut mendesak Azam menarik balik surat tuntutan terhadap individu yang mendedahkan maklumat mengenai kepentingan dimilikinya dalam sejumlah perniagaan.

Mereka turut menggesa kerajaan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi memberi lebih banyak perlindungan kepada individu yang mendedahkan maklumat seumpamanya.

NGO desak isu Azam disiasat secara bebas
“Kerajaan juga perlu melaksanakan reformasi yang serius bagi menjadikan SPRM benar-benar bebas, selaras saranan oleh empat kumpulan pada 2015.

“SPRM perlu dikeluarkan daripada Jabatan Perdana Menteri, sebaliknya diletakkan di bawah pemantauan jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang bipartisan,” katanya seperti dilapor portal FMT.                                                    

Post a Comment

0 Comments