PBM dijangka berdepan kesukaran pada PRU depan , kata penganalisis


PENGANALISIS politik melihat Parti Bangsa Malaysia (PBM), yang diterajui sebahagian besarnya individu yang didakwa mengkhianati Pakatan Harapan (HARAPAN) akan berdepan kesukaran dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ia susulan tiada satu pun daripada tiga gabungan politik besar sedia ada berkemungkinan mengalu-alukan mereka.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia dipetik  laporan FMT berkata, hasrat PBM untuk menyertai Barisan Nasional (BN) seperti yang dilaporkan adalah “langkah terdesak”.

BN jelasnya tidak memerlukan PBM, malah langkah menerimanya akan membawa masalah baharu kepada gabungan itu kerana ini akan mengorbankan Umno, MCA dan MIC.

“Setelah memenangi kerusi mereka (dalam PRU 2018) atas tiket Pakatan Harapan-KEADILAN dan platform anti-BN, PBM akan kehilangan kredibiliti jika menyertai BN yang tidak mempunyai etos reformis,” katanya.

Tambah Ahmad Fauzi lagi, parti teras PN, iaitu Bersatu dan PAS, kurang berkemungkinan untuk menerima PBM kerana ia terdiri daripada “anggota KEADILAN dan Bersatu yang ditolak”.

Penubuhan PBM dikaitkan dengan kumpulan Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin. Larry Sng, seorang lagi bekas pemimpin KEADILAN yang bertindak keluar dari parti itu kini menjadi Presiden kepada parti yang baharu ditubuhkan itu.

Pada Ahad, ADUN Paul Yong dan A Sivasubramaniam dilaporkan meninggalkan Bersatu bagi menyertai PBM. kedua-dua mereka sebelum itu adalah wakil rakyat DAP.

Niat sertai BN dilihat langkah terdesak PBM
"Ahli bukan Melayu yang menyertai Bersatu bersama-sama rakan seperjuangan berbangsa Melayu berdepan dilema kerana Bersatu berpaksikan orang Melayu dan tidak mementingkan kepelbagaian kaum dalam konteks politik dalaman parti," tambahnya.
 
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata, BN tidak perlu melayan PBM jika ia berasa yakin dapat memenangi kerusi yang dipegang penyandang daripada PBM.

Tambahnya, PBM boleh mengharapkan Warisan atau PN jika BN tidak menerima mereka.

Bagaimanapun katanya, walaupun PBM akhirnya akan bertanding pada PRU secara bersendirian, segelintir pemimpinnya, seperti Sng, boleh mengekalkan kerusi mereka dengan baik kerana mempunyai akses kepada sumber.