Adakah dana sistem saliran digunakan sewajarnya?


SEORANG bekas timbalan menteri mempersoalkan sama ada dana yang diterima pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada pemaju projek baharu telah digunakan dengan sewajarnya.

Merujuk kejadian banjir besar yang berlaku di beberapa negeri terutama di Selangor akhir Disember lalu, Raja Kamarul Bahrin Shah yang merupakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pihak berkuasa mesti menjawab sama ada dana itu diperuntukkan dengan betul.

“Majlis tempatan sepatutnya menyalurkan semula wang yang dibayar oleh pemaju ke arah infrastruktur untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

“Adakah kerajaan berbuat demikian? Kita kena tanya pihak berkuasa apa jadi dengan caj pembangunan semua projek yang dibina. Adakah pihak berkuasa tempatan menyalurkan wang ke arah menaik taraf infrastruktur bagi memastikan tiada banjir berlaku?” kata arkitek ternama itu dipetik laporan FMT.

Selaras dengan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, pemaju dikehendaki membayar caj pembangunan kepada majlis bandaran tempatan, dengan jumlah tertentu bertujuan untuk menyelenggara dan menaik taraf prasarana sedia ada seperti saliran.
 
Sebelum ini portal berkenaan ada membangkitkan kebimbangan bahawa kepincangan undang-undang yang membenarkan projek baharu menggunakan sistem perparitan sedia ada mungkin mengakibatkan banjir besar di Taman Sri Muda, di mana sistem perparitan tempatan dibebani air dari kawasan berhampiran.

Puluhan ribu pengundinya terperangkap dalam banjir di kawasan seperti Taman Sri Muda di Shah Alam, yang menjadi kawasan paling teruk dilanda banjir di Selangor.

Bagaimanapun memetik laporan portal sama,  arkitek dan perancang bandar Ou Yang Chow Min menjelaskan bahawa dana dibangkitkan Raja Kamarul  diagihkan dalam kalangan jabatan seperti saliran dan pengairan (JPS), bomba dan penyelamat serta penyedia perkhidmatan air.

Bahagian yang diagihkan kepada JPS adalah bagi kepakarannya dalam menyediakan garis panduan untuk sistem perparitan.

Walaupun pemaju mesti mematuhi garis panduan JPS untuk mendapatkan kelulusan bagi sistem perparitan, namun tanggungjawab untuk menyelenggara sistem ini terletak pada majlis tempatan atau JPS, katanya.

ADUN Kota Kemuning V Ganabatirau pula berkata, JPS perlu menggunakan dana itu dengan betul kerana mereka adalah agensi yang ditugaskan untuk mengendalikan saliran bandar dan pengurusan air hujan.

Dana diperuntukan mesti diguna dengan betul
“JPS bertanggungjawab merangka keseluruhan pelan tindakan (saliran) untuk mengawal aliran air dalam persekitaran bandar bagi memastikan ia sampai ke sungai,” katanya.

“Tugasnya adalah memastikan air diuruskan dengan baik dan banjir tidak berlaku, sebab itu dana diberikan kepada jabatan itu.” katanya.

Post a Comment

0 Comments