Bekas TPR mahu isu Azam Baki disiasat secara penuh


SEORANG bekas Timbalan Pendakwa Raya menggesa Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjalankan siasatan penuh berhubung penggunaan akaun dagangan Azam Baki oleh pihak ketiga.

Dipetik laporan FMT, Fahmi Abdul Moin menganggap kenyataan SC sebelum ini bahawa mereka tidak dapat memastikan “secara konklusif” sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menyalahi Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) sebagai “kesimpulan awal” yang belum dimuktamadkan.

“Daripada pemahaman saya, inkuiri ini ‘prasiasatan’. Ia perkara biasa yang dilaksanakan sebelum kertas siasatan penuh dibuka,” katanya dengan meminta hasil siasatan dirujuk kepada Peguam Negara bagi menentukan sama ada kes itu patut digugurkan atau sebaliknya.

SC memulakan inkuiri selepas Azam menjelaskan bahawa adiknya Nasir Baki menggunakan akaun dagangan beliau bagi melakukan pembelian 4 juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam pada 2015-2016.

Walau bagaimanapun penjelasan itu tidak memuaskan hati sesetengah pihak.

Fahmi sementara itu berkata, rumusan SC bahawa mereka tidak dapat memastikan secara konklusif berhubung isu Azam itu tidak menjelaskan beberapa isu penting.

“Rumusan SC itu berkemungkinan dapatan daripada bukti awal yang diterima daripada sidang media oleh SPRM sebelum ini atau mungkin maklumat diterima secara tidak formal.”

“Kita tidak tahu sama ada adik Azam sudah beri keterangan atau tidak atau dokumen berkaitan telah dirujuk. Siasatan secara dalaman dan kesimpulan awal oleh SC bukan menyelesaikan masalah, malah merumitkan keadaan kerana agensi kerajaan itu sedang berperang dengan persepsi buruk masyarakat,” katanya.

Katanya, siasatan yang lengkap akan membolehkan pegawai penyiasat merakam keterangan saksi dan mendapatkan dokumen berkaitan sebagai pembuktian.

“Keputusan akhir sama ada kes itu digugurkan atau tidak hanya boleh dibuat oleh Peguam Negara.”

Isu Azam belum selesai kata Fahmi


Sebagai rekod, Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) menyatakan semua akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mesti menggunakan nama pemilik manfaat sekuriti deposit atau penama yang dibenarkan; dan semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan pemilik manfaat sekuriti atau penama dibenarkan.

 

Post a Comment

0 Comments