SEORANG wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan agar kerajaan dan PLUS Malaysia Berhad memberikan pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) secara percuma kepada pengguna.
Gesaan itu disuarakan ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil susulan peralihan sistem pembayaran tol secara berperingkat bermula 15 Januari lalu.
Menyifatkan harga pelekat itu yang pada masa ini dijual pada tanda RM35 sebagai mahal, Faiz berkata ia hanya menguntungkan pengeluarnya.
"Tidak sepatutnya kerajaan dan Plus mementingkan kroni dalam keadaan kehidupan rakyat yang susah sekarang, ekonomi negara yang masih meleset dengan kadar inflasi 3.3 peratus pada November 2021 dan harga barang yang semakin naik.
"Oleh itu, kerajaan dan Plus digesa untuk memberikan sticker RFID ini secara percuma, kerana keuntungan pasti diperolehi melalui pembayaran tol melibatkan lebih kurang sejuta kenderaan sehari untuk menampung kos pelekat yang hanya bernilai beberapa ringgit sahaja," katanya dalam kenyataan.
Sesetengah pihak termasuk bekas perdana menteri Najib Razak baru-baru ini mendakwa kos pelekat itu sebenarnya berharga di bawah RM1.
Peralihan sistem pembayaran itu hangat diperkatakan dengan warganet rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Sistem baru itu disifatkan sebagai sistem yang menyusahkan orang ramai dari segi masa dan wang, memandangkan hanya satu kereta boleh menggunakan pelekat RFID.
Kesesakan juga berlaku di plaza tol berikutan peralihan kepada sistem itu.
Sementara itu tambah Faiz lagi, kerajaan dan Plus juga perlu lebih anjal dalam penggunaan RFID dengan tidak memansuhkan penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG).
Berapa kos sebenar pelekat FRID? |
"Lagipun, kad TnG boleh digunakan untuk banyak kereta, sedangkan sticker RFID hanya boleh digunakan untuk satu kereta sahaja," katanya lagi.
0 Comments