Anwar gesa hentikan intimidasi kepada pemimpin pembangkang


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan polis menyiasat pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK), dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)  terlibat dalam perhimpunan dan penyerahan memorandum bantahan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru-baru ini.

Melalui hantaran di laman Facebook, Anwar yang juga Presiden KEADILAN turut menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan pihak polis menyiasat Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang turut dipanggil polis berhubung kehadirannya menyaksikan penyerahan memorandum kepada pihak SPRM.

“Begitu juga Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang disoal siasat berhubung siaran media sosial yang dikongsinya pada lima tahun lalu.

“Langkah ini ternyata suatu bentuk intimidasi dan tekanan oleh pihak berkuasa terhadap pimpinan pembangkang dalam menyikapi gejala rasuah di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani untuk tidak meneruskan tindakan sedemikian.

“Saya menggesa Ketua Polis Negara untuk menghentikan gangguan terhadap mereka ini,” tambah Anwar lagi.

Anwar kritik tindakan atas pemimpin pembangkang
Pada Isnin AMK menyerahkan memorandum bagi mendesak supaya siasatan lebih teliti dilakukan oleh badan bebas terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung kontroversi pemilikan jutaan saham oleh Azam dalam dua buah syarikat tersenarai baru-baru ini.

Mereka menuntut integriti badan itu dipertahankan.

Bagaimanapun, keesokan harinya polis memanggil individu yang terlibat dengan penyerahan memorandum tersebut untuk memberikan keterangan.

Antara dipanggil adalan Ketua AMK yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Naib Ketua AMK, S Thiban ; Setiausaha AMK Syukri Razab dan Ketua AMK Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Batu P Prabakaran.
 

Post a Comment

0 Comments