CALON Barisan Nasional (BN) bagi DUN Sungai Udang pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, memfailkan petisyen pilihan raya untuk membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional, Dr Mohd Aleef Yusof, atas dakwaan wujud elemen rasuah.
Mohamad Ali Mohamad yang kalah dengan majoriti 530 undi majoriti dalam pertembungan empat penjuru, memfailkan petisyen itu pada 14 Dis dan mahu Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan Aleef tidak dipilih mengikut tertib dalam PRN yang berlangsung pada 20 Nov.
Dipetik laporan FMT, dia mahu keputusan pilihan raya di kawasan itu dibatalkan dan mahkamah membuat keputusan bersesuaian, termasuk kos.
Dalam tuntutannya, Ali menamakan Aleef, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Sungai Udang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebagai responden.
Dia turut mendakwa Aleef dalam pengetahuannya melakukan amalan rasuah dalam pilihan raya berkenaan atau dengan persetujuannya atau dilakukan oleh mana-mana ejennya yang tertakluk mengikut kesalahan Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 32(c).
Dalam petisyennya, Ali berkata, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, bekas ahli Umno dan Ahli Parlimen Tanah Merah (Kelantan), menukar sokongan terhadap Bersatu, yang kini menjadi parti komponen PN.
Aleef dan/atau Ikmal tambahnya mengemukakan hadiah berbentuk wang tunai atau dalam apa jua bentuk bertujuan menentukan keputusan pilihan raya di kawasan terbabit.
“Aleef sebelum ini tidak pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bergantung kepada Ikmal untuk diperkenalkan kepada pengundi di kawasan terbabit,” katanya.
Dalam petisyen itu juga dia mendakwa sejumlah besar undi tentera mengundi memilih Aleef, berbanding dirinya susulan dakwaan rasuah, dan beliau akan mengemukakan buktinya di mahkamah.
Difahamkan pengurusan kes akan diadakan di Melaka, pada 30 Dis, dengan Timbalan Pendaftar Mahkamah akan mengeluarkan arahan kepada pihak berkaitan.
Ali dakwa Aleef amal rasuah pilihanraya |
Seksyen 35A Akta Kesalahan Pilihan Raya memperuntukan bahawa pertikaian berhubung semua pilihan raya mesti dilengkapkan dalam tempoh enam bulan selepas petisyen difailkan.
0 Comments