PM digesa pecat Ahli Parlimen Mersing sebagai 'kepala' NADMA



ISMAIL
Sabri Yaakob digesa menyingkirkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Abd Latiff Ahmad daripada menguruskan hal ehwal bencana negara.


Gesaaan itu dibuat Ketua Penerangan Putra Ashraf Rosli susulan kritikan terhadap cara Abd Latiff memimpin Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam berdepan banjir besar di beberapa negeri termasuk Selangor hujung minggu lalu.

Tegas Ashraf, sebagai seorang menteri yang berpengalaman dan sudah enam penggal menjadi wakil rakyat, Abd Latiff sepatutnya tahu dan faham apakah tugasan dan fungsi portfolio yang dipegangnya.

Kegagalan agensi itu bertindak secara proaktif ketika bencana melanda adalah perkara serius dan perlu diambil perhatian segera.

"Ini bukan sahaja melibatkan harta benda dan pendapatan rakyat yang terjejas malah ia melibatkan nyawa rakyat dan juga masa depan negara," katanya pada satu kenyataan hari ini.

“Kelewatan mengurus bencana banjir kali ini satu perkara yang amat memalukan," jelasnya.

Tambah Ashraf, musibah banjir "bukanlah sesuatu yang baru" apatah lagi ketika tengkujuh pada hujung tahun dan sewajarnya Abd Latiff bersedia dan memastikan NADMA sentiasa bersiap sedia menghadapai apa sahaja ancaman bencana.

Susulan kritikan rakyat, Abd Latiff dilaporkan media sebagai berkata dia tiada masalah untuk meletakkan jawatan susulan dakwaan agensi kendaliannya gagal menguruskan hal ehwal banjir.

Bagaimanapun,  Abd Latiff  mempersoalkan apakah dengan peletakkan jawatannya, ia akan menyelesaikan masalah.

“Bubar (NADMA) boleh, saya setuju. Saya letak jawatan (pun) boleh. Saya sudah enam penggal (jadi wakil rakyat). Tiada masalah.

“Tapi apakah solusinya?” soalnya dalam wawancara dengan Sinar Harian.

Sebagai rekod, Abd Latiff difahamkan masih belum meletakkan jawatannya.

Ashraf sementara itu turut menempelak Abd Latiff kerana mempersoalkan  ‘Apakah solusinya?’. Malah kenyataan Ahli Parlimen Mersing itu jelas Ashraf telah membuktikan bahawa di seorang yang ketandusan idea.   
 
Dalam pada itu, Putra melahirkan rasa kesal apabila aset-aset strategik kepunyaan NADMA tidak digunakan apabila perlu.

"Kehilangan nyawa hampir 40 mangsa tidak sepatutnya berlaku jika pengarah koordinasi Ndama lebih peka dan bijak mengatur strategi menyelamat.

“Jika menteri tidak bijak sewajarnya beliau mengambil pandangan daripada mereka yang lebih bijak seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang begitu pantas dalam menjalankan misi menyelamatkan mangsa banjir,” katanya lagi.

Sebelum ini berlaku tuding menuding antara agensi dalam soal siapa perlu mengambil tanggungjawab mengurus bencana alam.

Abd Latiff wajar dipecat
Malah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai antara agensi terawal membantu rakyat ketika banjir hujung minggu lepas mendedahkan mereka membuat keputusan untuk menggerakkan aset mereka tanpa menunggu arahan dari NADMA yang dianggap gagal bertindak pantas seperti diharapkan.

Susulan tindakan hambar dari NADMA, Ismail kemudian mengumumkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengambil alih tugas NADMA bagi menerajui usaha bantuan banjir berkuat kuasa serta-merta.

Post a Comment

0 Comments