Apakah k'jaan ada keluar amaran banjir?

 

AHLI PARLIMEN Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan apakah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) ada mengeluarkan amaran awal sebelum berlaku banjir besar di Selangor dan beberapa negeri lain minggu lalu.

Melalui satu kenyataan, beliau yang merupakan bekas Menteri Pertanian dan Asas Tani itu menegaskan amaran itu adalah penting untuk dihebahkan kerana dapat membantu rakyat membuat persediaan selain membantu semua agensi berkaitan dalam melaksanakan persiapan dan persediaan kecemasan menjelang kejadian banjir.

“… saya ingin bertanya adakah terdapat sebarang Amaran Banjir yang dikeluarkan oleh PRABN untuk agensi kerajaan dan rakyat sebelum bermulanya banjir di Selangor dan Pahang pada 18 Disember 2021?

“Jika terdapat amaran banjir dikeluarkan PRABN, kenapakah tiada langkah susulan lebih awal dilaksanakan oleh agensi-agensi terlibat?

“Manakala jika tidak ada sebarang amaran banjir dikeluarkan, dimanakah silap dan lemahnya sistem ramalan dan amaran banjir yang dikendalikan PRABN yang sudah tentu dibangunkan dengan peruntukan yang besar yang diluluskan oleh Parlimen?

“Kenapa di dalam laman web rasmi Public Info Banjir JPS di bahagian yang berkaitan Amaran Banjir, dinyatakan  “Tiada kejadian banjir diramalkan berlaku”?” katanya.

Sebagai rekod,  PRABN adalah agensi yang berada di bawah pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man difahamkan tiada dalam negara ketika insiden banjir pada 18 dan 19 Disember itu kerana berada di Mekah bagi menunaikan umrah.

Sementara itu Salahuddin berkata di dalam laman web Public Info Banjir JPS, dinyatakan dengan jelas bahawa objektif PRABN ialah “Memberi perkhidmatan cemerlang dalam pembangunan dan pengoperasian sistem ramalan dan amaran banjir sebagai persediaan menghadapi banjir bagi peningkatan kualiti hidup, keselamatan nyawa dan harta benda”.

Jelasnya, laman web yang sama juga menyatakan antara fungsi utama PRABN ialah “Memastikan operasi ramalan dan amaran banjir yang berkesan selaras dengan keperluan agensi berkaitan bencana banjir dan orang awam dalam penerimaan amaran banjir.”

Apakah tiada amaran banjir dikeluarkan?
“Kita semua maklum pada masa ini juga terdapat ramalan dan tinjauan taburan hujan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang boleh memberi indikasi tentang kemungkinan berlakunya banjir.

“Berdasarkan kepada ramalan taburan hujan jangka panjang yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi inilah yang menyebabkan Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan makluman rasmi pada 17 November 2021 bagi persediaan awal menghadapi musim monsun timur laut,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments