Kabinet digesa campur tangan dalam isu saham Azam Baki


SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) mendesak kabinet campur tangan dalam isu dakwaan  saham dimiliki Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki dalam sebuah syarikat.

Gesaan itu disuarakan R Sivarasa (HARAPAN - Sungai Buloh) selepas SPRM didakwa tidak bertindak atas dakwaan itu.

Tambah Sivarasa yang juga merupakan seorang peguam, kabinet perlu mengarahkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), salah satu daripada lima badan pengawasan di bawah SPRM, menjalankan siasatan berhubung dakwaan serius yang menyelubungi pegawai kanan SPRM itu.

“Kabinet perlu campur tangan untuk menyelamatkan reputasi SPRM,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Sebelum ini  Sivarasa mendakwa Azam Baki memilik 4.2 juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam.

BACA: 'Orang penting' SPRM didakwa miliki empat juta saham

BACA: Sivarasa kecewa usul tergempar ditolak Speaker

Di Dewan Rakyat beliau berkata telah dimaklumkan bahawa pegawai tinggi SPRM itu menjadi pemilik 930,000 saham sebuah syarikat tersenarai pada 2015 dan memiliki 1,029,000 saham lagi pada tahun berikutnya.

Sivarasa berkata, pegawai tinggi itu turut menjadi pemilik 2,156,000 waran dalam sebuah lagi syarikat tersenarai awam pada 21 Mac 2016.

Beliau telah megemukakan usul bagi membahaskan isu itu di dalam Dewan namun ditolak Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun

Pada 27 Dis lalu, Edmund Terence Gomez pula bertindak meletak jawatan sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM selepas gagal membincangkan laporan yang membabitkan Azam.

Gomez juga menulis surat kepada Pengerusi LPPR SPRM Abu Zahar Nika Ujang sebanyak tiga kali, mencadangkan agar beliau menghadiri lembaga penasihat untuk membentangkan laporan.

LPPR ditubuhkan di bawah Seksyen 13 Akta SPRM 2009 sebagai panel yang bertanggungjawab untuk menasihati suruhanjaya itu dari segi dasar dan operasi.

Sementara itu tegas Sivarasa , insiden itu telah menunjukkan bahawa pencegahan rasuah bukan hanya mengenai penubuhan yang dipanggil badan pengawasan di bawah undang-undang dan sekadar berkata "kami telah menjalankan tugas kami dan badan-badan ini akan memastikan integriti SPRM adalah utuh".

“Apa yang asas ialah sama ada individu dalam badan pengawasan itu mempunyai integriti untuk melakukan tugas mereka.

"Dalam kes ini, terdapat kegagalan institusi yang besar. Ketua SPRM berdepan dakwaan serius yang membayangkan tingkah laku rasuah dan badan penyelia gagal bertindak.

"Mesej yang salah dihantar oleh SPRM sendiri - bahawa tingkah laku rasuah boleh diterima," tambahnya.

Kabinet digesa campur tangan
Beliau turut menggesa Dewan Rakyat supaya memainkan peranannya dalam isu ini melalui jawatankuasa pemiihan parlimen.

"Jawatankuasa pemilihan berkaitan boleh memanggil pegawai SPRM termasuk ahli panel pengawasan untuk bertanya mengapa mereka tidak bertindak seperti yang disarankan oleh Gomez,” kata ahli Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Rakyat itu lagi. 

Post a Comment

0 Comments