Sulaiman takut nak debat atau tak mampu, soal Mohammad Agus


PENGANALISIS
politik terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menyifatkan negara sedang berdepan isu ketandusan pemimpin yang berani dan mempunyai idea untuk berhadapan dengan rakyat

Beliau berkata begitu dalam satu kenyataan di laman sosialnya sebagai mengulas tindakan pemimpin parti tertentu yang menolak saranan debat calon ketua Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Setelah ada pemimpin yang menolak debat ini, saya berfikir betapa kita kehausan pemimpin yang berani dan mempunyai idea untuk berhadapan dengan rakyat secara langsung.

"Dalam keterbatasan kempen PRN yang dibenarkan, debat calon KM ini perlu diadakan," katanya dalam kenyataan malam ini.

Parti politik dan calon sebelum ini mengkritik prosedur operasi standard yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada PRN itu yang disifatkan terlalu ketat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melontarkan cadangan supaya debat diadakan bagi memberi peluang kepada rakyat menilai apa yang mahu dilaksana calon-calon tersebut jika mereka dipilih kelak.

Di sebalik saranan Anwar, calon dari Barisan Nasional (BN), Sulaiman Md Ali menolak cadangan tersebut, dia menyatakan lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kempen yang kini hanya berbaki tujuh hari.

Sementara calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Adly Zahari pula menyatakan kesediaan untuk berdepan debat dengan calon dari parti lain.

"Rakyat memang amat memerlukan ahli politik yang berwawasan serta bertaraf dunia," tambahnya Muhammad Agus sambil menegaskan bahawa debat perlu diadakan kerana boleh menjadi jalan mengatasi kekangan kempen pada PRN itu.

Mohammad Agus ketika mengulas penolakan Sulaiman untuk berdebat berkata,  di negara yang mengamalkan demokrasi matang, debat calon presiden atau perdana menteri adalah perkara biasa.

Ia dijalankan bagi membolehkan calon menunjukkan pengetahuan dan keupayaan inteleknya bagi memimpin negara dan dapat diadili orang ramai.

"Tetapi di Malaysia, setiap kali debat dicadangkan, akan ada sahaja calonnya yang menolak. Akan ada sahaja yang mengatakan debat bukan budaya politik kita.

Agus bidas alasan diberikan Sulaiman
"Hari ini calon ketua menteri dari BN menolak cadangan pengerusi HARAPAN agar debat diadakan. Alasannya kerana mahu tumpukan masa pada kempen pilihan raya.

"Kenapa tolak bila diajak berdebat sedangkan debat ini juga adalah untuk berkempen? Apakah takut atau tidak mampu?" soalnya.

Post a Comment

0 Comments