SEORANG pemimpin Umno mengkritik kenyataan terbaharu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan parti selain Perikatan Nasional (PN) seolah-olah parti ekstrem.
Mohamed Khaled Nordin yaang merupakan Naib Presiden Umno berkata, PAS pimpinan Abdul Hadi itu mungkin kelihatan 'sederhana' namun ia bukan kerana ideologi atau pendekatan politiknya.
Ia jelasnya kerana PAS menyedari bahawa untuk terus diajak menjadi kerajaan ia terpaksa menjadi sederhana.
“Lihatlah rekod PAS. Perikatan mana yang ia tidak pernah sertai untuk melunakkan persepsi radikalnya, termasuklah merangkul erat DAP sebagai sekutunya.
“Jadi, apabila parti di luar pakatan yang disertai PAS dilabel sebagai parti ekstrem, maka saya teringat bidalan orang tua-tua. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” tempelaknya Khaled dalam satu kenyataan.
Untuk rekod PAS menjadi sebahagian kerajaan setelah kesemua Ahli Parlimennya menyertai gabungan politik ditubuhkan Mahiaddin Md Yassin untuk mengambil alih kerajaan melalui 'Langkah Sheraton.'
Beberapa Ahli Parlimen PAS dilantik ke jawatan penting kerajaan termasuk Abdul Hadi yang dilantik Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri.
Dalam ucapan di majlis politik di Shah Alam yang turut dihadiri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan Dominic Lau, Abdul hadi yang merupakan Timbalan presiden PN berkata, PN menawarkan pembaharuan di Melaka.
Pembaharuan itu dapat dicapai dengan menolak "parti ekstrem".
"PAS, Bersatu dan Gerakan, kita bertanding atas satu simbol untuk menolak parti ekstrem, untuk membuat satu perubahan pendekatan pakatan baru.
"Satu pembaharuan mesti dilakukan. Kalau rakyat Melaka nak buat pembaharuan, pilihlah PN," katanya.
Sementara itu Khaled menuduh PAS tidak pernah menang besar dalam mana-mana PRU, kerana kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya, PAS adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem.Khaled bidas kenyataan Abdul Hadi
“Mereka tidak yakin PAS boleh menawarkan solusi untuk Malaysia dengan komposisi kemajmukannya yang kompleks.
“Kerana itu, walau berpuluh tahun kewujudannya, dengan Islam yang dicanangkan sebagai landasannya sekalipun, majoriti orang Melayu tidak pernah menerima PAS sebagai parti yang boleh mewakili mereka,” tegasnya lagi.
0 Comments