BADAN pemantau pilihan raya Bersih menyuarakan kebimbangan berhubung "tindakan penguatkuasaan yang melampau" diambil oleh pihak berkuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Melalui satu kenyataan, Bersih menyorot tindakan diambil seperti denda yang berat ke atas parti politik dan calon di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Rancangan Pemulihan Negara) 2021 (Peraturan NRP).
“Kejadian terbaru seorang individu di Alor Gajah dikenakan denda RM4,000 kerana berkempen dengan memakai jaket berlogo Pakatan Harapan (HARAPAN) ia sesuatu yang mengarut dan melampaui batas.
"Ia datang dengan laporan lain bahawa KKM dan polis 'menyerbu' mesyuarat majlis presiden HARAPAN di Melaka dan hanya berhenti apabila dimaklumkan bahawa mesyuarat parti dibenarkan di bawah garis panduan SPR," kata Bersih.
Sekatan dan denda yang dikenakan ini bukan lagi mengenai pengurusan Covid-19 tetapi penindasan kempen pilihan raya secara keseluruhan.
Jelasnya, pilihan raya bukan soal membuang undi pada hari pengundian semata-mata tetapi merangkumi keseluruhan proses berkempen.
Media sebelum ini melaporkan tindakan polis mengeluarkan kompaun kepada seorang calon HARAPAN yang memakai pakaian dengan lambang parti politik kerana didakwa berkempen di sebuah kedai makan pada Rabu.
Ketua Polis Negeri Melaka Abdul Majid Mohd Ali mendakwa calon melanggar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya negeri (PRN) Melaka dengan didakwa mengambil bahagian dalam 'walkabout' di Alor Gajah.
Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fadmi Fadzil menyiarkan salinan kompaun polis di media sosial, menyelar polis kerana mengeluarkan kompaun terhadap seseorang yang berbaju tertera logo parti.
Bersih berkata "tindakan keterlaluan" sedemikian telah "mengharamkan" pilihan raya dengan dan menindas demokrasi - selain melanggar Perkara 8 dan 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara.
Bersih berkata, ia juga berkemungkinan melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, di mana menurut Seksyen 24B, calon "boleh mengadakan, memanggil atau menganjurkan apa-apa mesyuarat terbuka, perhimpunan awam terbuka, pameran awam terbuka atau hiburan awam terbuka atau memberi ucapan atau syarahan terbuka di kawasan yang ditandingi calon."
Sehubungan itu, Bersih mengulangi bantahannya berhubung larangan menyeluruh terhadap kempen pilihan raya secara bersemuka tanpa alternatif yang jelas diberikan kepada semua calon bertanding.
SPR sepatutnya menjadi pemudah cara |
"Kami menggesa larangan sepenuhnya terhadap kempen fizikal ditarik balik dan garis panduan jelas yang mematuhi Fasa 4 Program Pemulihan Negara disediakan pada minggu terakhir kempen," kata Bersih.
0 Comments