MAHKAMAH RAYUAN Putrajaya membenarkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk mengembalikan semula tuntutan saman fitnahnya terhadap bekas Pengerusi Gerakan Teng Chang Yeow.
Menerusi prosiding secara maya, panel tiga hakim dipengerusikan Kamaludin Md Said memerintahkan Teng membayar kos RM75,000 kepada Lim.
Kamaludin yang disertai Supang Lian dan Mariana Yahya, dimaklumkan oleh peguam kedua-dua pihak bahawa mereka bersetuju untuk tidak meneruskan rayuan susulan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan.
Guan Eng memfailkan saman terhadap Teng susulan kenyataan dibuatnya pada November 2016 mengenai perjanjian oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang berkaitan sebidang tanah di Pulau Jerejak.
Difahamkan, saman dikemuka Guan Eng terhadap Teng dibatalkan pada 2018 atas alasan Lim tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu sebagai Ketua Menteri.
Sementara dalam keputusannya semalam, panel hakim memberitahu Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan awal tahun ini yang bermakna saman yang dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang tiga tahun lalu di itu dikembalikan semula.
Sebagai rekod, pada 26 Feb, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Guan Eng dalam saman fitnah terhadap kumpulan hak asasi Melayu Perkasa yang melabelnya sebagai pengkhianat kerana didakwa mendedahkan rahsia negara kepada kerajaan Singapura.
Hakim Harmindar Singh Dhaliwal yang mewakili hakim membuat keputusan majoriti itu berpendapat Lim boleh meneruskan saman berkenaan berdasarkan kapasiti peribadinya.
Harmindar berkata, reputasi adalah faktor, tidak kira sama ada plaintif telah mengambil tindakan itu dalam kapasiti peribadi atau awamnya.
Tuntutan saman Guan Eng dikembalikan |
Selain Teng, Guan Eng dalam saman dikemukakannya berhubung isu tanah Pulau Jerejak itu turut menamakan Star Media Group Berhad, editornya, wartawan David Tan dan Crystal Chiam Shiying sebagai defendan susulan laporan mereka yang mencetuskan kontroversi.
Syarikat penerbitan milik MCA itu menyelesaikan kes dengan Lim di luar mahkamah.
0 Comments