CALON Ketua Menteri mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN) Adly Zahari menyatakan kesediaannya untuk berbahas dan berdebat bersama calon-calon Ketua Menteri sempena pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Melalui satu rakaman yang disiarkan di Facebooknya hari ini, Pengerusi HARAPAN Melaka itu berkata, telah menerima beberapa jemputan untuk mengadakan debat bagi membicarakan polisi gabungan itu.
Beliau bersedia untuk menyertainya.
“Kita memang bersedia menyalurkan pandangan dan dasar kita di media arus perdana.
“Saya yakin dengan demokrasi yang matang, demokrasi lebih terbuka, dan demokrasi berdasarkan pengetahuan ini. Apabila berbincang berkaitan dengan rakyat dan dasar-dasar kerajaan, memang ianya satu perbincangan yang baik.
“HARAPAN sentiasa terbuka untuk membincangkan, membahas atau memperdebatkan isu-isu yang berkaitan dengan negeri Melaka kerana saya yakin melalui sistem demokrasi yang terbuka ini, maka rakyat akan mendapat (lebih banyak) maklumat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan digesa membuka ruang kepada semua calon Ketua Menteri dalam pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdebat secara terbuka.
Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang debat melalui siaran radio dan stesen televisyen itu wahana terbaik dalam melonjak nama Malaysia sebagai contoh negara demokrasi yang sihat dan matang.
Adly turut bersetuju dengan pandangan Anwar, malah menyifatkan debat itu adalah peluang terbaik untuk pengundi di Melaka menilai potensi setiap calon dan memilih mereka yang benar-benar bertanggungjawab.
“Daripada maklumat diperolehi itu, mereka boleh membuat penilaian dan seterusnya memberikan sokongan kepada mana-mana parti yang mereka yakini. Ini demi untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil, cekap, bertanggungjawab dan telus,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, calon Ketua Menteri dari Barisan Nasional (BN) Sulaiman Md Ali dilapor media sebagai menolak cadangan debat berkenaan.
Dia lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kempen PRN, yang hanya berbaki tujuh hari.Calon KM HARAPAN siap sedia untuk berdebat
"Tak payahlah. Kita habiskan pilihan raya ni dululah," katanya dipetik Malaysiakini.
Cadangan debat terbuka diutarakan susulan SOP ketat bagi PRN Melaka yang dilihat menyukarkan calon bertanding bertemu bakal pengundi bagi berkempen.
0 Comments