Darurat di Sarawak ditamatkan, PRN tidak lama lagi

 


PILIHAN RAYA NEGERI (PRN) Sarawak dijangka akan diadakan tidak lama lagi setelah Yang di-Pertuan Agong berkenan menamatkan proklamasi darurat di Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu.

Menurut Istana Negara dalam satu kenyataan, permohonan bagi menamatkan proklamasi itu dibuat oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud ketika menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuala Lumpur pada Selasa.

Baginda juga sebelumnya menerima sembah nasihat Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengenainya pada Rabu.

“Seri Paduka menzahirkan kegusaran baginda terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya PRN Sarawak diadakan.

“Pada hemat Sei Paduka Baginda, negara masih bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini masih di tahap yang membimbangkan.

“Maka setelah menimbang permohonan Yang di-Pertua Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerjaan berkenaan, Seri Paduka telah bersetuju memberi perkenaan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan,” kata Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini.

Perkenan diberikan juga selaras dengan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 yang menyatakan proklamasi darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Ia juga selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru dengan penamatan proklamasi itu PRN akan dapat diadakan dalam tempoh tempoh 60 hari dari tarikh penamatan perintah darurat itu.

Sebagai rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lepas selepas cukup lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya diadakan.

PRN dijangka diadakan dalam tempoh 60 hari
Bagaimanapun peruntukan itu tidak dapat berkuat kuasa disebabkan pelaksanaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

"Sesungguhnya Seri Paduka menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi kepentingan peribadi dan politik," tambah Azuan lagi.

Post a Comment

0 Comments