MENTERI BESAR Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor digesa bercakap menggunakan fakta sebelum menuntut bayaran sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan persekutuan sebagai royalti pajakan tanah Pulau Pinang dan Seberang Perai.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tiada sebarang dokumen Perjanjian 1786 berhubung soal pajakan itu berdasarkan tokoh sejarah dari Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Ahmad Murad Merican.
“Menteri Besar Kedah kita ini secara konsisten sebut dia nak tuntut duit bayaran pajakan Pulau Pinang kepada Kedah RM100 juta, kalau Pulau Pinang tak bagi dia akan sekat air ke Pulau Pinang, biar orang Pulau Pinang minum air selut.
“Saya politik tak lama 27 tahun, tapi tak pernah jumpa watak macam ini, pada saya biarlah bila sudah menjawat jawatan itu (MB) bercakap atas faktalah ada atau tidak dokumen 1786 itu.
“Kalau saya kemuka di sini kenyataan Dr Ahmad Murad Merican dari ISTAC, tokoh sejarah, dia kata dalam kajian dia dokumen itu itu tak wujud, jadi tak berbangkit soal pajakan.
“Saya pernah jadi ADUN Kedah, memang dalam pembentangan bajet Kedah, tiap-tiap tahun ada pembayaran pajakan Seberang Perai RM10,000, hanya bila HARAPAN menjadi kerajaan untuk tujuan itu diberi RM20 juta secara ‘one off’ pada ketika itu, tapi yang namanya pajakan itu pakar sejarah sahkan tak ada dokumen ditemui, takkan Menteri Besar tak boleh semak.,” kata Ahli Parlimen Kulim- Bandar Baharu itu di Dewan Rakyat ketika membahaskan Belanjawan 2022.
Sebelum ini Sanusi menuntut bayaran sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan persekutuan sebagai royalti pajakan tanah Pulau Pinang dan Seberang Perai untuk dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2022.
Katanya, nilai berkenaan adalah sesuai dan munasabah berbanding bayaran royalti yang diterima negeri itu sebanyak RM10,000 setahun sejak tahun 1786 serta bayaran khas RM10 juta yang dibuat Putrajaya sejak tahun 2018.
Tuntutan bayaran RM100 juta setahun itu disifatkan Sanusisebagai satu nilai yang kecil bagi pihak kerajaan Persekutuan jika dibandingkan dengan pendapatan yang dijana negeri Pulau Pinang.
Dia memberikan asas tuntutan itu disebabkan tanah Pulau Pinang menurutnya dipajak dari Kedah sejak 1786 dengan nilai royalti tahunan sebanyak 10,000 Dollar Sepanyol.
Perbalahan antara kerajaan Kedah pimpinan Sanusi dan Pulau Pinang tercetus susulan isu penerokaan di kawasan Hulu Muda yang menjadi punca bekalan air untuk Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Susulan perbalahan itu, Sanusi secara berseloroh pernah berkata dia boleh mengarahkan penduduk kampung menyekat aliran air ke Pulau Pinang.
Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah itu walau bagaimanapun ditempelak orang ramai.
Sanusi digesa buat kenyataan berdasarkan fakta |
“…jadi kalau tak dibenar tebang hutan itu kerajaan negeri boleh mengangkat kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) supaya dibincang pampasan munasabah harga kepada Kedah untuk kekal kawasan hutan kerana tak boleh tebang balak, maka kerajaan persekutuan boleh pertimbang pampasan munasabah, supaya kehilangan hasil Kedah itu ditampung oleh pampasan, jadi hutan terpelihara, sumber air terjamin,” katanya dipetik.