Anwar mahu k'jaan pastikan syarikat balak selenggara jalan

 



JAWAPAN Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Hasbi Habibollah berkenaan kerosakan jalan yang disebabkan oleh aktiviti pembalakan menerima kritikan Ketua Pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat hari ini menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak boleh memberi jawapan lepas tangan berhubung kerosakan jalan berpunca dari aktiviti itu.

Syarikat balak tegasnya perlu dipertanggungjawabkan membaiki mengurus jalan tersebut setelah mengaut keuntungan berbilion ringgit.

“Saya terpanggil mengulas jawapan timbalan menteri mengenai lori dan jalan balak sebentar tadi, sepatutnya jawapannya adalah kerajaan harus memastikan syarikat balak yang mengaut keuntungan berbilion ringgit diberi tanggungjawab jaga jalan itu.

“Bukan kata sudah lepas (selesai pembalakan) dan bukan tanggungjawabnya lagi…ada juga jalan yang bukan laluan balak dirosakkannya seperti berlaku di Sabah dan Sarawak,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu.

Sebelumnya, Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau (GPS) bertanyakan kepada kerajaan mengenai rancangan penyelenggaraan jalan tanah dan batu yang tidak diselenggarakan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) di kawasan pedalaman.

Anwar juga meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar supaya tidak lepas tangan dalam isu penyelenggaraan jalan menggunakan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) kepada negeri.

“Yang berkait dengan MARRIS ini, kita tahu ini urusan kerajaaan negeri, itu betul tetapi seperti yang dibangkitkan semalam oleh Ahli Parlimen Johor Bahru bahawa jalan MARRIS ini diselenggara oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab dan menyebabkan ketirisan dan wang RM1 bilion itu tidak sampai ke bawah.

Syarikat balak mesti bertanggungjawab
“Apakah ini bukan merupakan pertanggungjawaban, sekurang-kurangnya KPLB memantau kedudukan ini, jangan kata hanya lepas sahaja dengan mengatakan ini tanggungjawab negeri. KPLB (kena) kenal pasti (kerana) dibawah tanggungjawab kementerian dan isu luar bandar.

“Saya ingin tegaskan pemantauan itu walaupun dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri, KPLB tidak boleh jawab lepas tangan termasuk mengenai lori-lori dan syarikat balak tadi,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments