Audit kewangan syarikat terima 'projek' k'jaan - Akmal Nasir

 


KERAJAAN digesa agar menambah peruntukan untuk Jabatan Audit Negara supaya dapat meluaskan skopnya menjalankan audit termasuk melibatkan syarikat konsesi mengendalikan dana kerajaan.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Johor Baharu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir semasa membahaskan Bajet 2022 di Dewan Rakyat yang menyifatkan peranan jabatan itu sangat penting.

"Sebagai contoh, peruntukan Jabatan Audit Negara bagi tahun 2022 telah dipotong sebanyak RM4 juta kepada RM154 juta.

"Jangan kita lupa jasa Jabatan ini yang membongkarkan kes-kes rasuah seperti 1MDB, NFC dan kapal LCS yang sehingga kini masih bermasalah.

"Malah saya ingin mengusulkan dana tambahan diberikan supaya skop Jabatan Audit Negara diperluaskan kepada syarikat-syarikat yang menguruskan dana kerajaan seperti syarikat-syarikat konsesi,” kata Akmal.

Beliau turut memberi contoh di Johor yang menurutnya terdapat 8 syarikat konsesi yang hampir monopoli keseluruhan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya.

Sambil mendakwa ada syarikat yang bermodalkan RM1 juta, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) itu mempersoalkan apa keistimewaan syarikat tersebut yang menurutnya  menerima lebih RM1 bilion kontrak kerajaan dalam tempoh tiga tahun.

Terdahulu pada Feb lalu, ADUN Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim dilapor media telah memfailkan  laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung konsesi penyelenggaraan jalan di Johor.

Beliau mempersoalkan penganugerahan kontrak konsesi yang diperolehi syarikat terbabit melalui Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris) yang menurutnya seperti monopoli yang dibimbangi akan menyebabkan kontraktor bumiputera yang lebih kecil muflis.

Lebih menghairankan jelasnya,syarikat terbabit tidak mempunyai pengalaman dan hanya memiliki seorang pemegang saham, yang juga merupakan satu-satunya pengarah syarikat.

Wang rakyat mesti dibelanjakan dengan telus
Sementara itu Akmal berkata, projek-projek konsensi seperti itu apabila diswastakan sepatutnya kos menjadi lebih efektif dan murah.

"Namun, melalui kaedah konsesi ini, bukan hanya di Johor tetapi juga di beberapa negeri lain, harga sebenar yang dibayar oleh kerajaan adalah meningkat berbanding dengan kaedah pengurusan tender yang dibuat sebelum wujud syarikat konsesi ini," katanya yang merasionalkan kewangan syarikat-syarikat seperti itu disemak Jabatan Audit Negara.

Post a Comment

0 Comments