MN dah lama mati tak berkubur - Ku Li


MUAFAKAT NASIONAL  (MN) yang ditubuhkan kononnya untuk memperkukuhkan kuasa politik orang Melayu disifatkan sudah berkubur walaupun belum ada pengumuman rasmi mengenainya.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa, MN menyeleweng daripada matlamat asal selepas rakan gabungan Barisan Nasional (BN) iaitu Pas saling berbeza pendapat.

"Sebenarnya tidak ada (persefahaman) kalau dia dah sanggup berbeza pendapat dengan Umno. Umno  tak mahu jadi anggota PN (Perikatan Nasional) tetapi dia nak jadi anggota PN...apa beza?

"Tetapi jelas sekali nampak dia (PAS) penting kepada jawatan barangkali, nak guna itu untuk kepentingan politik dia... barangkali, saya tak tahu.

"Pandangan saya dengan ramai kawan-kawan yang saya telah berbincang, memikirkan MN telah berkubur ataupun dah mati lama tak ada kubur. Sememangnya tak ada keikhlasan di peringkat bawah.. di peringkat atas saya tidak tahulah," kata bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh, Gua Musang, Kelantan seperti dilapor Sinar.

Keretakan hubungan antara Umno dan PAS yang bersekutu dalam MN jelas dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setelah kedua parti itu tidak bertanding bersama.

Umno dan PAS bertembung di PRN Melaka
Umno memutuskan untuk bertanding secara solo dibawah BN, manakala PAS menggunakan bendera PN dan bersekutu dengan Bersatu dan parti Gerakan pada pilihan raya itu.

Mahal Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menggesa penyokong parti itu mengundi PN sekiranya berlaku pertembungan antara BN dianggotai Umno dengan PN.

Post a Comment

0 Comments