SELEPAS didakwa berbelanja lebih RM1.3 di bukit mewah terkemuka, bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi didakwa menggunakan sejumlah RM17.9 juta daripada dana Yayasan Akalbudi (YAB) antara lain adalah untuk memudahkan anak perempuannya membeli sebuah hotel butik di Bali, Indonesia.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dipetik laporan Bernama berkata anak Zahid iaitu Nurulhidayah berminat untuk mengambil alih saham Ri-Yaz Asset Sdn Bhd dan mengusahakan hotel itu.
“Pembeli yang berminat ialah Nurulhidayah dan ini disahkan oleh Tan Sri Rashid Manaf (saksi pendakwaan ke-83) serta Datuk Seri Mohd Shaheen Shah Mohd Sidek (saksi pendakwaan ke-84) yang telah bertemu dengan Nurulhidayah dan tertuduh bagi membincangkan cadangan usaha sama,” katanya menurut laporan tersebut.
Tambah Raja Rozela lagi, perkara itu bermula apabila tertuduh memberikan arahan spesifik kepada Affin Bank untuk mengeluarkan dana daripada tujuh akaun simpanan tetap YAB berjumlah RM17,953,191.04 melalui firma guaman Tetuan Lewis & Co.
“Firma itu (Lewis & co) telah mengeluarkan sekeping cek pada 30 Jun 2016 bagi jumlah RM8.6 juta kepada Ri-Yaz Asset Sdn Bhd sebaik menerima arahan daripada tertuduh.
“Menurut B Muralidharan (saksi pendakwaan ke-87), beliau telah diarahkan oleh tertuduh untuk membuat pembayaran itu bagi tujuan membeli 60% saham syarikat tersebut daripada Tan Sri Rashid yang ketika itu adalah Pengerusi Ri-Yaz Asset.
“Sebelum ini, Tan Sri Rashid memberitahu mahkamah bahawa beliau berhasrat menjual sahamnya kerana syarikat itu berdepan kesukaran dari segi pembayaran bagi pinjaman sebanyak USD24.8 juta daripada EXIM Bank untuk pembelian hotel tersebut di Bali, Indonesia,” katanya.
Raja Rozela berkata demikian ketika berhujah di akhir kes pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.
BACA: Ahmad Zahid suami isteri belanja lebih 1.3 juta di butik mewah - Pendakwaan
Beliau berkata, Zahid telah diamanahkan dengan dana YAB bagi tujuan khusus iaitu membasmi kemiskinan dan meningkatkan kebajikan golongan miskin serta menjalankan kajian dan penyelidikan yang berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan.
Katanya, Zahid juga secara sedar telah memilih untuk menggunakan dana YAB bagi membayar kad kredit, polisi insurans serta cukai jalan kenderaannya dan tidak menggunakan akaun bank peribadi beliau.
Zahid didakwa beri arahan spesifik keluarkan dana |
Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik yayasan tersebut.
0 Comments