MAHKAMAH TINGGI di Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kreditnya lebih RM1.3 juta.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dipetik laporan Bernama berkata Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis membelanjakan lebih RM1.3 juta itu untuk membeli-belah dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata penggunaan kad kredit secara meluas bagi pembelian di gedung membeli-belah mewah di seluruh dunia dan dalam negara itu boleh dilihat melalui penyata bulanan kad kredit.
Antara gedung mewah terbabit menurut Raja Rozela ialah Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes.
“Walaupun diakui, tabiat berbelanja tertuduh dan isterinya mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di Malaysia ketika mereka membeli-belah seperti di Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes,” katanya dipetik.
Raja Rozela berhujah demikian di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada akhir kes pendakwaan terhadap Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Dalam penghujahan sama, Raja Rozel turut memaklumkan bahawa Naib presiden kanan AmBank Yeoh Eng Leong yang merupakan saksi ke-10 dalam kes itu mengesahkan bahawa berdasarkan penyata kad kredit yang dikemukakan, jumlah pembayaran yang diterima bank dari Januari 2014 hingga Januari 2016 adalah sebanyak RM1,296,715.98.
“Dari Januari hingga Disember 2014 sebanyak RM534, 412.52; RM708, 134.47 bagi Januari hingga Disember 2015 dan RM54,168.99 bagi Januari 2016.
“Saksi pendakwaan kesembilan, Anoop Singh Gulzara Singh, Naib Presiden Maybank (Pengurusan Penipuan dan Pertikaian Kad Kredit), mengesahkan penerimaan enam pembayaran berjumlah RM30,771.19 (antara Februari dan Oktober 2014), satu pembayaran pada Mac 2015 pada RM3,914.84, dan satu lagi pada Julai 2015 sebanyak RM30,635.80,” katanya lagi.
Zahid sedang berdepan 47 kes mahkamah |
“Jumlah yang terlibat adalah RM107,508.55 (pembelian insurans dan cukai jalan). Tidak ada kenderaan milik Yayasan Akalbudi,” tambahnya.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan melibatkan12 bagi pertduhan CBT, lapan kes rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
0 Comments