Ahli Parlimen gesa pinda Akta ‘Whistleblowers’ , lindung pemberi maklumat


PERTUBUHAN National Oversight & Whistleblowers (NOW) dengan sokongan empat Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) menuntut agar kerajaan segera melakukan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblowers Protecton Act 2010).
 
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu berkata, pindaan itu perlu dilakukan bagi meningkatkan peranan pemberi maklumat dalam membentuk sebuah pentadbiran negara yang telus dan berakauntabiliti.

Pindaan itu juga tegasnya dapat memberi menjamin hak perlindungan lebih baik terhadap pemberi maklumat yang mendedahkan maklumat-maklumat melibatkan kepentingan awam.

Akmal merujuk  pendedahan oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) merupakan salah satu contoh terbaik amalan pemberian maklumat di peringkat antarabangsa yang membongkarkan kekayaan yang berkemungkinan disembunyikan di luar negeri, sindiket pengecualian cukai dan aktiviti mencuci duit dari kalangan orang kaya dan berpengaruh di dunia.

Selain  pindaan itu dapat melindungi pemberi maklumat, mereka turut menuntut pemerkasaan peranan pemberi maklumat dalam melindungi kepentingan awam dengan menambah baik mekanisme pemberian maklumat. Sebagai contoh, pendedahan maklumat kepada pihak media.

“Akhir sekali, menjamin imuniti dan kebebasan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 daripada undang-undang lain yang berkaitan seperti OSA,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Selain Akmal, turut memberi sokongan supaya pindaan itu segera dilakukan adalah Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Yunus, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.

Sementara itu Akmal turut memaklumkan, NOW yang berperanan sebagai badan yang melindungi pemberi maklumat telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah buku panduan dwibahasa yang bertajuk Whistleblowing Practices: A handbook guide.

Penerbitannya adalah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan amalan pemberian maklumat.

Jaminan perlu diberi kepada pemberi maklumat
Buku itu antaranya mengandungi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pemberi maklumat, contoh-contoh kes pemberian maklumat yang pernah berlaku di Malaysia, perbincangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (WPA 2010) dan perbandingan dengan akta yang diguna pakai di negara-negara luar, serta yang paling utama adalah cara-cara untuk memberikan maklumat (whislteblow) dalam konteks undang-undang di Malaysia.

Ia akan diedarkan kepada pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil, organisasi-organisasi anak muda dan juga kumpulan media bagi menggerakkan usaha secara kolektif untuk menuntut perlindungan yang lebih baik kepada pemberi maklumat.

Post a Comment

0 Comments