HARAPAN tolak pelantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’


KEMELUT
politik di Melaka tidak seharusnya diselesaikan melalui pilihan raya negeri (PRN) atau melalui pengisytiharan darurat sementara, kata Pakatan Harapan (HARAPAN).

Melalui satu kenyataan dikeluarkan Majlis Presiden, mereka menegaskan bahawa perbincangan perlu diadakan terutama dengan blok yang memiliki majoriti dalam Dewan demi memastikan perlembagaan negeri "ditegakkan dan dihormati" terutama dalam keadaan negara masih berdepan pendemik Covid-19.

"Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak Covid-19.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran dalam kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat

“Penting ditegaskan bahawa Pakatan Harapan menolak pembubaran DUN sebagai tidak berperlembagaan taktala negeri Melaka masih menghadapi wabak Covid-19.

"Oleh itu, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk kerajaan caretaker diwakili oleh golongan yang mendapat sokongan majoriti ADUN," kata mereka.

Kemelut pentadbiran Melaka kini menjadi perhatian ramai selepas dewan undangan negeri (DUN) dibubarkan apabila ketua menterinya Sulaiman Md Ali kehilangan majoriti.

Ia susulan tindakan empat ADUN diketuai bekas Ketua Menteri, Idris Harun mengumumkan tidak lagi menyokong Ketua Menteri dan kerajaannya.

Blok diketuai Sulaiman itu kini dianggap sebagai blok minoriti dan tidak layak memimpin kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kamel Mohamad membuat tindakan mengejutkan apabila menamakan Sulaiman sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka sementara menuggu langkah selanjutnya.
 
HARAPAN sementara itu secara tegas menolak tindakan melantik Sulaiman itu sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’. Ini jelas mereka kerana ADUN Lendu itu telah jelas hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka sebelum DUN dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai kerajaan negeri.

Majlis Presiden turut merujuk kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka khususnya berhubung penamaan Sulaiman sebagai ketua menteri yang mengetuai kerajaan caretaker Melaka.

HARAPAN tolak Sulaiman sebagai KM "Caretaker'
"Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mengakui Perlembagaan Melaka tidak memperuntukkan fungsi dan peranan sebuah kerajaan caretaker dan merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel," kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden PKR Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Presiden Amanah), Lim Guan Eng (Setiausaha DAP) dan Wilfred Madius Tangau (Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif - UPKO).

Post a Comment

0 Comments