Kertas Pandora: NGO pula tampil desak pendedahan dibahaskan


 ISU berkaitan pendedahan Pandora Paper terus mendapat perhatian ramai termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Semalam, sekumpulan NGO hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum yang mendesak Dewan Rakyat segera membahaskan Kertas Pandora dan Panama seperti dituntut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Antara NGO terbabit ialah Pertubuhan Generasi Gabungan Aspirasi Rakyat Malaysia (GEGAR), Pertubuhan Permata Angkatan Perpaduan Islam Kuala Lumpur dan Selangor (MAP), Pertubuhan Sejagat Malaysia Cawangan Selangor, Pertubuhan Kebajikan Taman Melewar Gombak (PKTM) serta empat NGO lain.

Dalam tuntutan mereka yang dipetik laporan media, kerajaan dituntut membenarkan perbahasan itu agar harta negara tidak dimanipulasi demi kepentingan peribadi melalui pengaliran keluar wang secara haram.

“Kami mewakili rakyat Malaysia mendesak Parlimen segera membincangkan isu pengaliran wang ke luar negara berjumlah RM1.8 trilion dari 2004 hingga 2015 seperti yang dilaporkan Global Financial Integrity (GFI).

“Kami mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan penuh dan telus.” kata mereka sambil menegaskan bahawa pendedahan Kertas Pandora dan Panama boleh dijadikan petunjuk untuk menyiasat pengaliran keluar wang secara haram.

Turut hadir menyambut kumpulan itu semalam adalah Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik.


Anwar menerima memorandum itu bagi pihak pembangkang dan menyatakan komitmen untuk cuba memastikan isu itu  dibahsakan.

Difahamkan, memorandum terbabit juga telah diserahkan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsuddin untuk disampaikan kepada kerajaan.

Sementara itu, kumpulan tersebut turut berkata, pendedahan oleh Pandora Peper itu telah menyebabkan Malaysia disenaraikan dalam senarai kelabu Kesatuan Eropah (EU) sebagai negara mengelak cukai, terbabit penipuan cukai, pengubahan wang dan menyembunyikan sumber kekayaan.

“Ini menunjukkan kelemahan agensi penguatkuasaan berwajib di Malaysia menghalang aliran wang secara haram sehingga menjejaskan ekonomi negara, nilai mata wang susut dan kemajuan negara terbantut.

“Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan siasatan telus, komprehensif dan tanpa konflik kepentingan agar rakyat mendapat penjelasan penuh berhubung perkara ini.” jelas mereka.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) pula ketika mengulas usaha Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan ahli-ahli parlimen lain agar isu itu dibahaskan di parlimen berkata, isu itu hendaklah dibincangkan tanpa rasa takut.

Pihaknya turut mendesak kerajaan menyiasat kemungkinan salah laku di kalangan mereka yang dinamakan dalam Kertas Pandora termasuklah golongan menteri yang memiliki akaun luar pesisir termasuk dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan dan Suruhanjaya Diraja (RCI).

Siasatan tanpa rasa takut perlu diadakan
"Pihak berkuasa without fear or favour hendaklah menyiasat perbuatan salah laku undang undang negara yang serius ke atas sesiapa saja yang terlibat waima mereka adalah menteri, bekas menteri, VVIP serta sesiapa saja yang telah dinamakan dalam Pandora Papers tersebut.

"Sekiranya berlaku kesalahan maka pendakwaan hendaklah dilakukan secara adil dan mengikut undang-undang negara kita," kata Pengerusi Biro politik MPM Shahbudin Embun dalam satu kenyataan.

Post a Comment

0 Comments