SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa segera menyiasat keputusan Putrajaya pada Februari lalu untuk menghidupkan semula dua projek saluran paip di Sabah bernilai kira-kira RM9.4 bilion.
Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam satu kenyataan mendakwa 88% atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan keseluruhan sudah dibayar, walaupun kemajuan kerja belum diaudit hanya mencapai 13% setakat Mei 2018.
Mereka merujuk pembinaan projek kontroversi Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) yang menurut mereka dinilai tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.
“SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek TSGP dan MPP yang telah gagal ini dimulakan semula pada 10 Feb lalu oleh kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin,” kata mereka dalam kenyataan bersama itu.
Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden UPKO, Wilfred Madius Tangau.
Terdahulu, bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri yang menghidupkan kembali dua projek yang terpalit dengan skandal pentadbiran Najib Razak.
"Kedua-dua projek ini adalah salah satu skandal kewangan paling tidak masuk akal dari pentadbiran Najib kerana SSER telah membayar RM8.3 bilion, atau 88 peratus daripada RM9.4 bilion nilai pembinaan projek tersebut, walaupun penyiapan kerja berperingkat (yang belum diaudit) hanya pada tahap 13 peratus,"kata Setiausaha Agung DAP itu dalam kenyataan sebelumnya.
Sebelum ini, bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah 1MDB berkata projek SSER adalah antara beberapa urus niaga mega yang ditawarkan kepada China untuk membantu menyelamatkan 1MDB.
Justeru timbul persoalan mengapa projek tersebut yang dibatalkan ketika era pentadbiran HARAPAN pada 2018 dihidupkan semula.
Isu berkaitan usaha menghidupkan semula projek itu terdedah susulan jawapan bertulis Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat yang menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mengenai projek berkenaan.
MPP membabitkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra di Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.
HARAPAN gesa SPRM siasat |
Kedua-dua projek bernilai RM9.41 bilion itu diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016. Perjanjian itu ditandatangani ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu, Irwan Serigar Abdullah.
0 Comments