PRN Melaka: Senator cadang HARAPAN ketengah muka baru berwibawa


SEORANG Senator mewakili KEADILAN menggesa parti itu mengenegahkan bakat-bakat berwibawa bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhir bulan depan.

Yusmadi Yusoff yang juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia (Generasi Keadilan) berkata, parti itu mempunyai satu generasi anak muda yang sudah dewasa di dalam perjuangan reformasi.

"Bakat-bakat dalaman perlu dibimbing oleh pimpinan berpengalaman di dalam pilihan raya yang akan datang.

"Pimpinan parti tidak perlu tergesa-gesa melihat bakat-bakat luar yang belum teruji kesetiaan dan kefahaman mereka terhadap perjuangan dan dasar parti," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook.

Sambil menegaskan bahawa ramai dalam kalangan penyokong-penyokong setia parti yang boleh diberi peluang sebagai pemimpin rakyat, beliau turut menggesa parti itu menolak mana-mana calon yang tidak mengamalkan etika politik yang baik atau tidak menunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat.

"Ia termasuk menolak mana-mana Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) daripada KEADILAN yang tidak efektif berkhidmat sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, isu berkaitan agihan kerusi dan senarai calon dalam parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi menghadapai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Selasa ini.

Sudah masa angkat bakat baru dalam parti
Perkara itu dimaklumkan pengerusi HARAPAN Melaka, Adly Zahari yang berkata, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan dan rundingan di peringkat akhir sedang berjalan antara rakan parti.

“Setakat ini rundingan pengagihan kerusi hampir dimuktamadkan dan kita akan cuba memuktamadkan selewat-lewatnya Isnin atau Selasa ini," jelas bekas Ketua Menteri itu.

Post a Comment

0 Comments