KIRA-KIRA 600 penyokong dan ahli PAS di kawasan Dewan Undangan Gual, Parlimen Tanah Merah Kelantan dilapor menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Perkembangan terkini politik itu didedahkan penulis politik Mohd Sayuti Omar yang kemudian disiar di portal Malaysia dateline milik parti Amanah Negara (Amanah).
Menurut Sayuti, 'penghijrahan' itu merupakan gelombang kemarahan rakyat Kelantan kepada kerajaan PAS atas kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS menjaga kebajikan rakyat.
“Malam semalam diumumkan 600 orang penyokong ahli dan penyokong Pas dalam Dun Gual Ipoh parlimen Tanah Merah menyertai parti Keadilan (PKR).
“Majlis penghijrahan beramai-ramai itu diraikan oleh Setiausaha Agong Keadilan Saifuddin Nasution Ismail.
“Antara yang mengumumkan menyertai Keadilan, Ketua PAS Cawangan Kampung Liku, Gual Ipoh Che Rahim dan Ketua Pengundi luar PAS Sdr Roslan. Hadir sama dalam majlis penghijrahan itu Pengerusi Keadilan Kelantan Supardi Mohammad Noor.” tulis beliau di Facebooknya.
Sementara itu menurut Sayuti yang juga penganalisis politik juga melihat penghijrahan beramai-ramai itu satu permulaan protes besar-besaran rakyat Kelantan terhadap kerajaan PAS.
Pentadbiran negeri diketuai Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ahmad bin Yakob yang kini makin dipertikaikan mengenai kewibawan mereka mentadbir dan mengurus Kelantan.
Antara isu yang meruncing di Kelantan dan menekan rakyat yang sering dibangkitkan termasuk di media sosial ialah masalah berkaitan air bersih, kenaikan cukai tanah serta kemiskinan yang ketara dan pengangguran.
Sementara itu, Sayuti turut memetik ucapan Supardi yang melihat gelombang itu sebagai peluang terbaik untuk membawa perubahan di Kelantan.
“Dalam ucapan Supardi merasa pelik dengan tindakan ahli dan panyokong PAS itu kerana sesudah berpuluh tahun akhirnya mereka meninggalkan PAS.
“Tindakan itu menurut Supardi menandakan masa dan peluang terbaik untuk Keadilan membawa perubahan di Kelantan dengan memulakan langkah menawan parlimen Tanah Merah,” kata beliau.
Sayuti lihat gelombang perubahan di Tanah Merah |
Kerusi bagi Parlimen itu kini disandang Ikmal Hisham Abdul Aziz yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya lalu dibawah tiket Umno. Ikmal kemudian dilapor mengumumkan menyertai parti Bersatu.
0 Comments